Isnin, 30 Julai 2018 | 10:24am
PENGARAH Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)  Kuantan Prof Dr Kamaruzzaman Yunus (dua dari kiri) pada Majlis Pelancaran Program Semarak Budi Aidil Adha di Bumi Champa di pejabat UIAM Kuantan. - Foto Mohd Rafi Mamat

UIAM Kuantan anjur korban di Kemboja

KUANTAN: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan menyasarkan 50 lembu disediakan untuk ibadah korban sempena program Semarak Budi Aidiladha 2018, di Kemboja pada 21 hingga 24 Ogos ini.

Program musim kedua turut membabitkan aktiviti sumbangan keperluan harian dan membina rumah serta menyediakan kemudahan pam air kepada penduduk Kampung Chhnang, di Phnom Penh.

Pengarah UIAM Kuantan, Prof Dr Kamaruzzaman Yunus berkata, sempena program itu turut akan diadakan kursus asas imam masjid dan surau yang membabitkan aktiviti bacaan dalam solat, zikir, doa dan soal jawab agama.

Beliau berkata, sempena program Semarak Budi Aidiladha di Kemboja, penganjur turut mempelawa umat Islam untuk turut sama menyertai ibadah korban dan akikah pada harga yang berpatutan serta mampu dilaksanakan semua pihak.

"Satu bahagian korban ialah RM350 dan RM800 bagi akikah dan dagingnya akan diagihkan kepada ketua kampung untuk dilapah seterusnya diagihkan kepada setiap penduduk.

"Saya berharap program korban dan akikah kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada umat Islam seluruh negara, sambil beramal kita juga dapat membantu golongan memerlukan di negara berkenaan," katanya, di sini, hari ini.

Dr Kamaruzzaman berkata, program semarak budi Aidiladha di Kemboja itu turut mendapat kerjasama Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kuantan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Majlis Tertinggi Pimpinan Umat Islam Kemboja.

Pada program kali ini, katanya, seramai 50 imam dan pegawai masjid serta surau beberapa kampung akan menyertai kursus asas yang dikendalikan Timbalan Pengarah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kuantan, Hasbullah Mohamad.

Pada tahun lalu, beliau berkata, pihaknya berjaya mengumpul sebanyak 24 lembu dan tahun ini diharapkan jumlahnya bertambah bagi memberi peluang lebih ramai masyarakat Islam Kemboja mendapat daging korban.

"Mereka yang berminat menyertai ibadah korban boleh menghubungi Pengarah Program itu, Adam Ali di talian 019-9889177 dan Dr Hasbullah 019-9370045," katanya.

Berita Harian X