Sabtu, 28 Julai 2018 | 1:24am

Peluang lihat planet Marikh dekat dengan bumi malam ini

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan dua fenomena astronomi yang jarang berlaku pada malam ini.

Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari, berkata dua fenomena itu adalah pencerapan planet Marikh dan gerhana bulan penuh (Blood Moon).

Katanya, pencerapan planet Marikh disifatkan cukup istimewa kerana antara jam 9 malam hingga 11.30 malam tadi, jarak planet itu berada hampir dengan bumi, iaitu pada lingkungan jarak 50 juta kilometer (km).

"Jarak antara bumi dengan Marikh kali ini adalah kira-kira 57.8 juta km dan kali terakhir jarak kedua-dua planet itu berada dalam lingkungan 50 juta km adalah pada 27 Ogos 2003, iaitu 55.8 juta km.

"Fenomena malam ini adalah sangat istimewa dan satu-satunya peluang untuk kita melihat Marikh pada jarak dekat kerana ia hanya dijangka berlaku semula pada 28 Ogos 2287, iaitu 269 tahun daripada sekarang," katanya ketika ditemui di Planetarium Negara di sini, sebentar tadi.

Anita berkata, gerhana bulan pula dijangka bermula jam 2.24 pagi hingga 6.19 pagi, dengan fasa gerhana bulan penuh berlaku antara jam 3.30 pagi nanti dan mencapai kemuncaknya pada jam 4.21 pagi.

"Istimewanya fenomena gerhana bulan malam ini, ia adalah yang kedua selepas 'Super Blue Blood Moon' pada 31 Januari lalu, selain tempoh fasa gerhana bulan penuh kali ini adalah paling panjang pada abad ke-21, iaitu hampir dua jam.

"Ketika fasa gerhana bulan penuh ini berlaku, warna bulan akan menjadi kemerah-merahan kerana bulan terlindung oleh bayang umbra bumi," katanya yang turut menjelaskan fenemona itu dapat dilihat di hampir keseluruhan benua Asia serta sebahagian Australia.

Anita berkata, pihaknya memberi peluang orang ramai melihat sendiri kedua-dua fenomena itu di Planetarium Negara secara percuma pada malam ini.

"Kami menyediakan empat teleskop kepada pengunjung, selain turut disertai beberapa teleskop daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, kelab falak dan daripada mereka yang berminat dengan astronomi.

"Menariknya, pengunjung yang menyertai pencerapan planet Marikh malam ini, turut berpeluang melihat tiga planet lain dengan amat jelas.

"Mereka cukup teruja kerana dapat melihat Musytari bersama empat bulan dan Zuhal dengan gegelangnya, selain Zuhrah," katanya yang menjangka lebih 1,000 pengunjung hadir bermula jam 8 malam hingga 6 pagi nanti.

Sementara itu, peniaga, Kamarul Anuar Mohd Kornain, 43, menzahirkan rasa teruja kerana dapat melihat planet Marikh secara langsung buat kali pertama.Beliau yang hadir ke Planetarium Negara bersama tiga anaknya, mengakui berminat dengan bidang astronomi sejak kecil, namun tidak pernah berkesempatan melihat angkasa menerusi teleskop.

"Ini kali pertama saya datang ke Planetarium Negara dan sangat teruja untuk melihat planet Marikh kerana selama ini hanya melihatnya di internet," katanya.

Sementara itu, felo penyelidik komunikasi frekuensi tinggi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Sabirin Abdullah, 41, turut hadir ke Planetarium Negara membawa dua teleskop bagi melihat kedua-dua fenomena itu.

"Dengan teleskop yang dibawa sendiri ini, saya dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk menggunakannya.

"Saya mula berminat dengan bidang astronomi sejak tahun lalu dan membeli sendiri teleskop, dan akan menganjurkan pencerapan di UKM jika tidak hadir ke Planetarium Negara.

"Saya agak kecewa kerana tidak dapat melihat fenomena 'Super Blue Blood Moon' Januari lalu kerana cuaca tidak mengizinkan, namun fenomena gerhana hari ini diharap dapat mengubat kekecewaan itu," katanya.

INFO

*Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris, dan bulan dilindungi bayang umbra bumi.

*Terdapat lima fenome gerhana sepanjang tahun ini, iaitu dua gerhana bulan dan tiga gerhana matahari.

*Ketiga-tiga fenomena gerhana matahari tahun ini tidak dapat dilihat di Malaysia.

61 dibaca
ANTARA pengunjung yang hadir bagi melakukan cerapan sempena fenomena gerhana bulan penuh yang akan kelihatan di Malaysia akan bermula pada 1.14 pagi hingga 7.28 pagi di Planetarium Negara, Kuala Lumpur. - Foto Shahril Badri
PENGUNJUNG melihat cerapan bulan yang dipancarkan secara lansung melalui layar gergasi ketika acara cerapan fenomena gerhana bulan penuh yang akan kelihatan di Malaysia akan bermula pada 1.14 pagi hingga 7.28 pagi di Planetarium Negara, Kuala Lumpur. - Foto Shahril Badri
Berita Harian X