Jumaat, 27 Julai 2018 | 9:39pm

Saya tidak akan bersikap apologetik - Dr MAZA

SHAH ALAM: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tegas tidak akan bersikap apologetik berhubung Islam dalam pertemuan dengan Timbalan Menteri Besar II Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy nanti.

Pada masa sama, beliau yang menyatakan kesediaannya bertemu Ramasamy, juga tidak akan meminta Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu bersikap sedemikian terhadap anutannya.

"Saya akan memberitahu dia pendirian saya, saya tidak apologetik dengan agama saya dan tidak suruh dia apologetik dengan agama dia.

"Sebagai Muslim, kita kena berjumpa dengan siapa yang mahu berjumpa. Jika sebelum ini Ramasamy tidak mahu berjumpa Dr Zakir Naik, tetapi disebabkan Dr Mujahid ajak jumpa... saya jumpa dia.

"Kita tahu, caranya berdialog, sebab itu kita gesa hari itu supaya ada dialog dengan Zakir tetapi dia tidak mahu," katanya selepas program Wacana Sinar 'Islam Di Era Pakatan Harapan' di Kompleks Media Karangkraf, di sini, petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media bahawa kerajaan akan mengadakan pertemuan tertutup dengan Ramasamy dan Mohd Asri bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, dilaporkan berkata, persetujuan diperoleh daripada kedua-dua pihak, manakala beliau akan bertindak sebagai orang tengah dalam perbincangan terbabit.

Katanya, pertemuan itu antara lain akan membincangkan isu tuduhan kaitan Ramasamy dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mohd Asri berkata, setiap individu juga perlu bersikap adil dan mengelak apa saja provokasi perkauman yang akhirnya mencetuskan keadaan tidak tenteram dalam negara ini.

"Jangan asyik provokasi itu kita nampak orang Islam saja, apabila nampak orang Islam provokasi kita cakap dalam akta tidak boleh provokasi dan sebagainya tetapi apabila bukan Islam, kita tidak bercakap hal sama. Itu tidak adil... itu apologetik," katanya.

Beliau berkata, dalam isu Ramasamy, menteri juga tidak sepatutnya mendahului siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sepatutnya dalam kes Ramasamy, menteri perlu menunggu Bukit Aman terlebih dulu kerana polis menyatakan ia di bawah siasatan polis.

"Jika menteri mendahului polis, bererti tidak perlu lagi siasatan, jadi perlu ada keadilan," katanya.

Mohd Asri sebelum ini dilaporkan meminta DAP menyatakan pendirian parti itu terhadap Ramasamy yang dikaitkan dengan kegiatan kumpulan pengganas LTTE.

Jumaat minggu lalu, Ramasamy menafikan pembabitannya dengan LTTE, sebaliknya cuma dilantik sebagai perunding proses perdamaian antara kerajaan Sri Lanka dan LTTE pada 2003 atas kapasiti Pensyarah Ekonomi Politik dan Pengurusan Antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

DATUK Dr Mohd Asri Zainul ketika Wacana Sinar Harian ke-66 bertajuk Islam di Era Pemerintahan Pakatan Harapan di Dewan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
DARI kanan, Presiden Ikatan Kebajikan & Dakwah Selangor (IKDDAS) serta Penasihat Agama Umno Selangor, Rosdi Long, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Ketua Pemuda Pas, Fadhli Shaari, Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus dan Moderator, Amin Idris ketika Wacana Sinar Harian ke-66 bertajuk Islam di Era Pemerintahan Pakatan Harapan di Dewan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Berita Harian X