Khamis, 26 Julai 2018 | 2:44pm
LIM Guan Eng menjawab soalan media selepas keluar dari Sidang Dewan Rakyat di Dewan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

'Sekurang-kurangnya saya Menteri Kewangan'

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, tidak berkecil hati dengan sindiran Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang menyifatkan fungsinya dikecilkan kepada 'bookkeeper' (penyimpan kira-kira).

Guan Eng berkata, sindiran Timbalan Presiden MCA itu mungkin disebabkan kementeriannya bertanggungjawab terhadap Jabatan Akauntan Negara.

"Tugas selaku Menteri Kewangan bukan menjaga jabatan berkenaan semata-mata, sebaliknya turut bertanggungjawab terhadap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta agensi lain.

"Nak kata saya 'bookkeeper' sebab saya bertanggungjawab terhadap Jabtan Akauntan, terpulanglah tapi saya juga bertanggungjawab terhadap JKDM dan LHDN, jadi saya juga penjaga kastam dan pengutip cukai.

"Sekurang-kurangnya, saya bertanggungjawab sebagai Menteri Kewangan, Wee Ka Siong tidak pernah mengisi jawatan ini," katanya sinis ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Ka Siong dikatakan menyindir Guan Eng dengan mendakwa tugasan Menteri Kewangan itu kini sekadar penyimpan kira-kira manakala Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memiliki kuasa lebih besar.

20 dibaca
Berita Harian X