Khamis, 26 Julai 2018 | 12:45pm
HANNAH Yeoh. - Foto Muhammad Sulaiman

Izinkan pekerja jaga anak dijangkiti HFMD

KUALA LUMPUR: Majikan wajar membenarkan kakitangan yang mempunyai anak dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) untuk bekerja dari rumah atau bercuti.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata langkah proaktif itu wajar dilaksanakan kerana kanak-kanak dijangkiti HFMD memerlukan perhatian dan penjagaan rapi dalam tempoh panjang.

"Majikan perlu bertimbang-rasa kerana ada yang tidak faham kes seperti ini bukan satu atau dua hari boleh sembuh.

"Ada ibu bapa yang tak dapat cuti dan terpaksa menghantar anak yang mempunyai simptom HFMD ke taska, menyebabkan kanak-kanak lain turut dijangkiti.

"Kita harap majikan memahami keperluan pekerja dalam kes ini kerana jika tidak,ibu bapa terpaksa menghantar anak ke pusat asuhan dan boleh menyebabkan wabak ini menular," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya mengenai penutupan beberapa taska, kelas dan sekolah susulan penularan wabak HFMD ketika ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, berlaku peningkatan kes HFMD apabila 35,886 kes kumulatif wabak itu direkodkan di seluruh negara dari 1 Januari hingga 23 Julai lalu.

Hannah turut menggesa syarikat korporat yang menyediakan kemudahan untuk kanak-kanak seperti troli supaya melakukan sanitasi peralatan setiap hari.

"Di Pulau Pinang, kita dapati antara punca penularan HFMD adalah melalui peralatan kanak-kanak di tempat awam seperti troli dan sektor swasta di negeri itu sudah mula membersihkannya.

"Kementerian memandang serius kes ini kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pun mempunyai taska sendiri dan mereka bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mengenal pasti kawasan yang perlu dibersihkan," katanya.

51 dibaca
Berita Harian X