Rabu, 25 Julai 2018 | 7:03pm

Belum ada tawaran rasmi - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Keputusan mengenai siapa yang bakal mengisi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hanya akan diputuskan selepas perbincangan antara semua parti dalam blok pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata persoalan sama ada beliau bakal mengisi jawatan itu jika ditawarkan oleh kerajaan, akan dibuat secara adil bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Bagaimanapun, katanya, perbincangan belum dibuat kerana tiada tawaran rasmi diterima daripada kerajaan untuk menjadi Pengerusi PAC.

"Saya belum menerima sebarang tawaran rasmi untuk menjadi Pengerusi PAC. Namun, lazimnya Pengerusi PAC datang daripada kerajaan dan timbalan pengerusi adalah pembangkang.

"Saya akan mengadakan rundingan dengan rakan dalam UMNO, BN serta PAS dalam blok pembangkang kerana biasanya ada empat orang (pembangkang) dipilih menduduki PAC.

"Oleh kerana saya hanya membaca laporan media tapi tidak menerima sebarang surat rasmi, saya hanya akan mengambil tindakan selepas tatacara mengikut kelaziman amalan Parlimen itu diterima," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, membayangkan Ahmad Zahid selaku Ketua Pembangkang akan dilantik sebagai Pengerusi PAC, selaras janji Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mengesahkan kerajaan hanya mempertimbangkan nama Ahmad Zahid untuk mengisi jawatan itu buat masa ini dan ia bergantung pada persetujuan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ditanya sama ada janji PH untuk menjadikan Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi PAC itu sebagai sesuatu yang baik, Ahmad Zahid berkata, ia bergantung pada intepretasi dan tujuan tersirat mereka.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir ke Dewan Rakyat pada Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X