Rabu, 25 Julai 2018 | 1:57pm
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Hanya Ahmad Zahid dipertimbang jadi Pengerusi PAC

KUALA LUMPUR: Hanya nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sahaja sedang dipertimbangkan ketika ini untuk mengisi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong yang mengesahkan perkara itu berkata, sama ada pelantikan itu akan menjadi kenyataan bergantung kepada persetujuan Ahmad Zahid sendiri.

"Buat masa ini, oleh kerana ini adalah manifesto Pakatan Harapan (PH), hanya seorang pembangkang sahaja yang dicadangkan menjadi Pengerusi PAC, jadi setakat ini hanya satu nama sahaja (dipertimbangkan).

"Jadi buat masa ini, kena tanyalah sama ada dia nak jadi Pengerusi PAC atau tidak kerana kalau dia tidak mahu, sia-sia sajalah.

"(Jika Ahmad Zahid bersetuju) pelantikan itu akan dipertimbangkan kerajaan dan juga Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Kita akan selesaikan pelantikan Pengerusi PAC pada sidang kali ini juga dan ini akan dibincangkan pada mesyuarat saya bersama pihak Speaker," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dilaporkan memberi bayangan Ahmad Zahid berkemungkinan bakal dilantik sebagai Pengerusi PAC kerana ia sebahagian janji PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, sebuah portal berita pula melaporkan Ahmad Zahid mencadangkan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Beluran daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ronald Kiandee untuk mengisi jawatan Pengerusi PAC.

41 dibaca
Berita Harian X