Isnin, 23 Julai 2018 | 6:11pm
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kedudukan DEB, MED akan diteliti semula

KUALA LUMPUR: Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) akan diteliti semula bagi mengkaji sama ada ia masih relevan atau sebaliknya.

Menteri Hal Ehwal Eknomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata penjajaran semula dasar utama negara itu bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara mapan dan berupaya menjamin pengagihan yang adil.

Sehubungan itu, katanya, dasar baharu yang lebih responsif kepada aspirasi rakyat akan digubal berdasarkan keperluan dan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara.

"Susulan perubahan tampuk kerajaan pada 10 Mei lalu, penyediaan dokumen Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe-11 dijajarkan semula dengan hala tuju baharu dan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Ia seperti terkandung dalam Buku Harapan: Membina Negara Memenuhi Harapan bagi memastikan hala tuju baharu diambil kira dalam perancangan dan strategi pembangunan bagi tempoh 2016-2020.

"Penjajaran ini juga penting bagi menjamin segala usaha kerajaan benar-benar membawa hasil atau memberi faedah kepada rakyat tanpa berlakunya ketirisan, penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya," katanya dalam jawapan bertulis kepada William Leong Jee Keen (PH-PKR Selayang), hari ini.

Jee Keen meminta perincian mengenai kemungkinan kerajaan akan mengkaji semula dasar utama dan rancangan pembangunan ekonomi sedia ada seperti DEB dan MEB.

Mohamed Azmin berkata, dokumen KSP RMKe-11: Hala Tuju Baharu, 2018-2020 akan menilai prestasi bagi tempoh dua tahun pertama pelan rancangan negara, iaitu bagi 2016-2017.

Selain itu, katanya, ia bertujuan memperkenal hala tuju baharu bagi tempoh 2018-2020, sejajar hasrat kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"RMKe-12 akan datang yang meliputi tempoh 2021-2025 akan mengandungi hala tuju baharu dengan fokus dan strategi pembangunan yang lebih komprehensif dan terperinci.

"Penyediaan RMKe-12 akan membabitkan penilaian dasar sedia ada dan penggubalan dasar baharu bagi pembangunan pelan ekonomi negara yang menyeluruh bagi memacu pembangunan negara pasca 2020," katanya.

Berita Harian X