Isnin, 23 Julai 2018 | 6:00am

Polis rampas syabu lebih RM7j di tempat letak kereta

KUALA LUMPUR: Polis merampas syabu dianggarkan bernilai lebih RM7 juta hasil serbuan di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah terkemuka di Ampang Jaya, kelmarin.

Dadah itu yang dianggarkan lebih 150 kilogram, dipercayai diseludup masuk dari Myanmar.

Sumber berkata, sekurang-kurangnya lapan suspek warga tempatan ditahan dalam rampasan yang dianggap antara kejayaan terbesar polis tahun ini.

Sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dibantu pihak berkuasa China melakukan serbuan di kawasan parkir berkenaan kira-kira jam 8 pagi.

Dalam serbuan itu, lapan lelaki tempatan dipercayai ahli sindiket dadah yang mengatur penyeludupan itu berjaya ditahan.

"Siasatan terhadap kenderaan pacuan empat roda milik suspek yang ditemui di kawasan itu menemui bungkusan dadah syabu yang dipercayai baru diseludup masuk ke negara ini," kata sumber itu.

Sumber itu berkata, nilai dadah itu boleh meningkat hingga tiga kali ganda jika diseludup ke Indonesia.

Rampas kenderaan, wang tunai

"Sejumlah wang tunai dan barang kemas turut dirampas, selain dua kenderaan mewah milik sindiket berkenaan," katanya.

Difahamkan, dadah itu diseludup masuk melalui jalan darat bermula dari Myanmar ke Thailand sebelum melepasi kawalan sempadan di utara Semenanjung.

"Ada kemungkinan Malaysia hanya dijadikan transit sebelum semua dadah itu mahu dihantar ke negara ketiga. Bagaimanapun, polis masih menyiasat modus operandi sindiket itu," katanya.

Polis turut menyiasat kemungkinan sindiket itu ada kaitan dengan rampasan dadah syabu bernilai RM5.6 juta oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman di Georgetown, Pulau Pinang dan Kedah pada 2 Mei lalu.

Dalam serbuan itu, polis menahan enam ahli sindiket dan merampas dadah seberat 92.6 kilogram yang dipercayai mahu diedar ke Sumatera, Indonesia.

Pada 3 Mac lalu, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan lima individu dan merampas lebih 130 kilogram pelbagai jenis bahan larangan itu dianggarkan bernilai RM6.2 juta di Kajang.

Rampasan besar dadah syabu seberat 201.3 kilogram bernilai RM14.1 juta dilakukan STING di Ayer Keroh, Melaka pada 4 Mac lalu.

176 dibaca
Berita Harian X