Sabtu, 21 Julai 2018 | 5:03pm
MENTERI Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah. - Foto Rosela Ismail

Malaysia, Indonesia akan tangkis serangan terhadap sawit - Saifuddin

JAKARTA: Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia dan Indonesia akan lebih agresif dalam usaha menangkis serangan Eropah terhadap komoditi sawit, selain bekerjasama mempromosikan produk-produk komoditi itu.

Saifuddin yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari sehingga Isnin ini di Indonesia berkata kerjasama lebih padu itu dilihat amat penting bagi menjaga kepentingan masa depan komoditi itu, produk-produk sawit serta para pekebun sawit.

"Kita (Malaysia dan Indonesia) mahu produk-produk (sawit) kita laris dan sudah tentulah kita akan bekerjasama meningkatkan lagi promosi produk iti selain menangkis serangan Eropah terhadap produk kita," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain itu kedua-dua negara juga akan mempertingkatkan peranan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bagi mempromosi produk-produk sawit. Malaysia dan Indonesia ialah negara pengeluar kelapa sawit terbesar di dunia.

Resolusi antiminyak sawit Jawatankuasa Alam Sekitar Parlimen Eropah (ENVI) pada 23 Oktober 2017, antara lain melarang bahan api-bio sawit memasuki Kesatuan Eropah (EU) bermula 2021.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata lawatannya ini adalah bagi menyelusuri lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bagi meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara.

Ini merupakan lawatan kerjanya yang pertama ke Indonesia selepas mengangkat sumpah sebagai menteri luar pada 2 Julai lepas.

Pada 28 dan 29 Jun lepas, Dr Mahathir mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia dan antara lain turut bersepakat bersama Presiden Indonesia Joko Widodo dalam usaha menangkis serangan Eropah terhadap industri sawit.

Pada program lawatan kerja hari pertamanya hari ini, Saifuddin mengadakan pertemuan dengan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia Bambang Soesatyo.

Selain itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum Nahdlatul Ulama, Said Aqil Siradj dan, Ketua Umum Muhammadiyah, Haedar Nashir, iaitu badan dan organisasi Islam di Indonesia.

Saifuddin turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Joko Widodo dan bertemu rakan sejawatnya, Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi pada Isnin. - BERNAMA

23 dibaca
Berita Harian X