Rabu, 18 Julai 2018 | 12:19pm
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto NSTP

RM110 bilion bukan harga tender projek HSR

KUALA LUMPUR: Nilai Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) yang dianggarkan RM110 bilion bukan harga tender, sebaliknya diperoleh berdasarkan pengiraan kos.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata jumlah itu diperoleh selepas pihaknya membuat pengiraan dengan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak telus kerana menyembunyikan kos tertentu, kononnya jumlah pembinaan HSR adalah lebih rendah daripada RM110 bilion.

"(RM110 bilion) diperoleh berdasarkan satu pengiraan kos, itu bukan harga tender bagi projek berkenaan, selepas pengiraan dibuat bersama dengan MOF (Kementerian Kewangan) pada peringkat ini.

"Kos pengiraan awal mengenai projek yang dicadangkan sudah tentu dalam proses tender biasa, mana-mana pembidaan yang dibuat secara tender terbuka ianya akan melalui penjimatan.

"Sebab itu, daripada awal prinsip Pakatan Harapan (PH) mendesak kepemimpinan terdahulu yang dipimpin Yang Berhormat Pekan (Datuk Seri Najib Razak) supaya semua projek mesti dibuat secara tender terbuka," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) yang bertanya bagaimana jumlah RM110 bilion boleh diperoleh walhal tender projek HSR masih belum diputuskan oleh kerajaan Malaysia dan Singapura.

Mohamed Azmin turut mempersoalkan tindakan Najib yang bersungguh-sungguh menekan kerajaan supaya mengamalkan prinsip tender terbuka selepas bergelar pembangkang.

Menjawab soalan yang dikemukan Najib mengenai pendedahan kajian impak projek HSR, Mohamed Azmin berkata, PH sejak dulu lagi mengamalkan budaya 'mendedah' kebenaran kepada rakyat.

"Itu prinsip PH sejak awal dulu. Mana-mana laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), laporan Penilaian Impak Trafik(TIA), laporan Penilaian Impak Sosial (SIA)... kita akan dedahkan kepada rakyat supaya rakyat tahu.

"Saya nyatakan sekali lagi, kerajaan akan memutuskan projek ini atas nasihat Peguam Negara (Tommy Thomas) supaya perkara ini dibincangkan terlebih dahulu.

"Perbincangan itu meliputi terma yang terkandung bagi membolehkan kita semak semula kebolehsanaan projek ini supaya ia tidak membebankan rakyat. Ini menjadi prinsip PH," katanya.

Berita Harian X