Selasa, 17 Julai 2018 | 9:28pm
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr Ilias Husain, 67 meninggal dunia petang tadi akibat kanser prostat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. - Foto Fail Fathil Asri

Bekas ADUN Jelawat meninggal

KOTA BHARU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Datuk Ilias Husain, meninggal dunia akibat barah prostat petang tadi.

Allahyarham berusia 67 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.30 petang tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini.

Ilias yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, dimasukkan ke HUSM pada malam hari raya pertama selepas mengalami kencing berdarah, sebelum disahkan menghidap barah prostat.

Adik Allahyarham, Danial Husain, 58, berkata Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Ayuni Sougioyo, 40, dan empat anak berusia antara 9 tahun hingga 19 tahun.

Katanya, sebelum ini abangnya tidak menghidap sebarang penyakit sehinggalah Aidilfitri baru-baru ini mengalami kencing berdarah.

"Sejak dimasukkan ke hospital kesihatan abang saya semakin lemah sehingga menghembuskan nafas terakhir petang tadi.

"Allahyarham seorang yang disenangi kerana sikapnya yang peramah dan bermurah hati. Kami sekeluarga kehilangan seorang abang yang sangat baik," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Allahyarham sebelum ini menjadi ADUN Jelawat pada 2004 dan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini, beliau yang bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) Pantai Irama tapi kalah kepada calon PAS.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan jam 10 malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Jawa.

Berita Harian X