Khamis, 12 Julai 2018 | 8:00pm
Anak gajah berusia antara dua hingga tiga minggu yang diselamatkan selepas ditemui bersendirian di Ladang Brumas, di Tawau. - Foto ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

Gajah Pygmy, orang utan mati dalam kejadian berasingan

KOTA KINABALU: Seekor gajah Pygmy Borneo dan seekor orang utan mati dalam kes berasingan di Santuari Gajah Borneo (BES), Kinabatangan dan Hutan Simpan Kabili-Sepilok, semalam.

Gajah jantan dewasa dianggar berusia 20 tahun dipanggil Sapa yang cedera dipercayai akibat jerat, diselamatkan oleh Jabatan Hidupan Liar di Sapagaya, Lahad Datu pada 1 Jun lalu, sebelum dibawa ke BES untuk dirawat, namun hidupan liar itu ditemui tidak sedar pagi semalam.

Jurucakap Jabatan Hidupan Liar Sabah, Siti Nur'Ain Ampuan Acheh, berkata selepas diselamatkan bulan lalu, gajah itu semakin pulih dan cergas susulan rawatan oleh pegawai veterinar dan tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit.

Katanya, Sapa mati sekitar jam 4 petang selepas semua rawatan sudah diberikan dan hasil bedah siasat mendapati pelbagai organ haiwan itu tidak berfungsi akibat septicemia (keracunan darah), dipercayai disebabkan jangkitan bakteria kerana mempunyai luka lama pada kaki kanan.

"Pada hari yang sama, kakitangan pusat penginapan melaporkan penemuan bangkai orang utan jantan separuh dewasa yang sudah mati berhampiran Hutan Simpan Kabili-Sepilok.

"Kakitangan dari Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok bergegas ke tempat kejadian dan mendapati bangkai haiwan itu berada di atas tanah tanpa sebarang tanda kecederaan.

"Bedah siasat akan dijalankan ke atas orang utan itu untuk mengetahui punca kematian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, anak gajah yang ditemui bersendirian tanpa kehadiran kumpulannya oleh pekerja ladang di Ladang Brumas, Tawau, kira-kira jam 3 petang Selasa lalu sudah dihantar ke Sepilok awal pagi tadi untuk dirawat, susulan keadaannya yang lemah dan mengalami beberapa kecederaan ringan.

Siti Nur'Ain berkata, anak gajah jantan berusia antara dua hingga tiga minggu dengan berat 95.5 kilogram itu berada dalam keadaan sedar ketika ditemui, namun mengalami dehidrasi dan sudah diberi rawatan serta susu.

"Luka kecil di beberapa bahagian badan anak gajah itu juga sudah dirawat," katanya.

Berita Harian X