Khamis, 12 Julai 2018 | 7:15pm

Pengeluar gula tempatan sahkan tiada monopoli gula

KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR), pengeluar gula tempatan menegaskan tiada monopoli gula di Malaysia, sebaliknya harga gula dikawal sepenuhnya oleh kerajaan dan antara paling murah di dunia.

MSM dalam kenyataannya hari ini berkata, kapasiti pengeluaran gula terkini berjumlah dua juta tan setahun dan merangkumi empat kilang penapisan.

"Permintaan gula tempatan adalah dianggarkan sebanyak 1.5 juta tan setahun dan secara tidak langsung menawarkan lebihan kapasiti sebanyak 500,000 tan setahun.

"Bagaimanapun, selepas kilang penapisan gula di Johor beroperasi sepenuhnya, jumlah kapasiti akan meningkat kepada tiga juta tan gula setiap tahun," katanya.

MSM berkata, pengusaha industri seperti pengeluar produk minuman dan makanan turut mendapatkan gula melalui platform perdagangan komoditi global bagi gula mentah, manakala, pengeluar gula tempatan akan membuat pembelian bagi syarikat terbabit, seterusnya mengimport gula yang telah diperoleh dan menapisnya dengan kadar bayaran tertentu.

Justeru, menurut MSM, adalah menjadi tanggungjawab pengeluar tempatan untuk memastikan bekalan gula mencukupi di Malaysia.

"Sehubungan itu, sejumlah kuantiti gula akan disimpan bagi memastikan bekalan cukup ketika berlaku peningkatan harga gula mentah dunia serta mengelak daripada dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

"Dengan penurunan harga gula mentah dunia pada masa ini, terdapat banyak pihak yang mengambil kesempatan untuk mengimport gula serta mengaut keuntungan pada situasi harga gula yang rendah, malah berkemungkinan tidak mempunyai keperluan pensijilan seperti sijil 'HALAL' dan akan menghentikan operasi sejurus harga gula mentah dunia meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan," katanya.

Katanya, ia secara tidak langsung menyebabkan pengeluar gula tempatan akan menanggung ketidakstabilan di pasaran yang berpunca daripada tindakan syarikat yang tidak bertanggungjawab.

Mengenai harga, MSM berkata, pada masa ini, harga gula bertapis di Malaysia antara paling rendah dengan kadar RM 2.95/kg, berbanding negara lain yang mempunyai pendapatan per kapita rendah seperti Kemboja, Myanmar dan Indonesia.

"Malah ia lebih murah dari negara pengeluar gula seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

"Oleh itu, penetapan mekanisme tertentu bagi memastikan kestabilan harga perlu dilakukan bagi mengelak ketidakstabilan pasaran yang boleh menjejaskan pengguna," katanya.

Selain jenama gula tempatan, beberapa jenama gula dari luar negara diimport ke Malaysia dan dipasarkan seperti SIS, Taikoo, Waitrose, Billington, Tate & Lyle yang turut memberi persaingan pada industri gula di Malaysia

Berita Harian X