Khamis, 12 Julai 2018 | 7:09pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo (dua kanan) menandatangani plak Pelancaran Tambahan Kapasiti Pusat Bungkusan Bersepadu di Pusat Mel Nasional, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Pos Malaysia mahu tambah jumlah IPC

SHAH ALAM: Pos Malaysia Bhd merancang membuka beberapa lagi Pusat Bungkusan Bersepadu (IPC) dalam tempoh jangka panjang bagi memenuhi permintaan terhadap perniagaan kurier, ekspres dan bungkusannya (CEP) yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Al-Ishsal Ishak, berkata pihaknya sedang menunggu hasil keputusan daripada laporan kajian yang bakal diumumkan penghujung bulan ini bagi menilai potensi pertumbuhan dan aliran e-dagang di lokasi terpilih sebelum melaksanakan pelan pembinaan kemudahan dan penghantaran IPC.

"Kami mungkin membuka IPC 3 dan 4 di lokasi seperti di Wilayah Utara, Selatan, Sabah dan Sarawak bergantung kepada hasil laporan itu kelak, " katanya pada majlis pelancaran projek penambahan kapasiti Pusat Bungkusan Bersepadu (IPC) di sini, hari ini.

Sehingga kini, Pos Malaysia memiliki sebuah IPC yang terletak di Shah Alam dan bakal membuka IPC Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada suku kedua 2019.

Al-Ishsal berkata, pihaknya memperuntukkan pelaburan kira-kira RM60 juta bagi sesebuah IPC bergantung kepada saiz dan kos pembinaannya dengan purata kapasiti antara 150 000 hingga 200,000 barangan setiap hari.

"Untuk IPC Shah Alam dan KLIA, kami melabur kira-kira RM120 juta termasuk kos penambahan kapasiti di IPC 1 di Shah Alam ini," katanya.

Sementara itu, Pos Malaysia melancarkan projek penambahan kapasiti di IPC Shah Alam dengan kos kira-kira RM50 juta yang mana ia dilaksanakan di bawah projek penambahan kapasiti IPC.

Al-Ishsal berkata, penambahan terbaru itu akan meningkatkan lagi kapasiti pusat terbabit kepada 150 peratus, iaitu daripada 112,000 item kepada 300,000 item setiap hari.

Menurutnya, langkah Pos Malaysia untuk menambah kapasiti IPC itu didorong oleh CEP domestik yang mencatatkan prestasi positif dengan pertumbuhan 19 peratus pada setiap tahun sejak lima tahun lalu dipacu oleh segmen e-dagang dengan trend itu dijangka terus meningkat pada masa depan.

"Kami jangka mampu untuk meningkatkan jumlah penghantaran kepada 500,000 item melalui kapasiti IPC di Shah Alam dan KLIA pada tahun depan," katanya.

IPC adalah kemudahan pengisihan bungkusan automatik Pos Malaysia di mana ia adalah pusat pemprosesan automatik pertama di rantau Asia Tenggara yang menggunakan peralatan dan teknologi 'cross-belt' terkini.

Berita Harian X