Khamis, 12 Julai 2018 | 2:12pm
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V (kanan) bersama Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-249 di Istana Negara hari ini. Mesyuarat itu yang diadakan dua hari bermula semalam dipengerusikan Sultan Nazrin. - Foto BERNAMA

Agong berangkat ke hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat ke-249 Majlis Raja-Raja di Istana Negara di sini.

Keberangkatan baginda diiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mesyuarat itu yang bermula semalam, dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Turut berangkat hadir ialah semua raja-raja Melayu kecuali Sultan Pahang dan Kelantan.

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah manakala Kelantan diwakili Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Pada hari kedua mesyuarat yang bermula kira 10.40 pagi itu, raja-raja Melayu diiringi menteri besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diiringi ketua menteri masing-masing.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud diiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. - BERNAMA

Berita Harian X