Isnin, 9 Julai 2018 | 4:32pm
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyampaikan piala kejohanan kepada peserta, Mohd Shake Danial Dediwadon, 17, bagi sekolah menengah dari kumpulan Al-Islah, Negeri Selangor. - Foto Foto Azhar Ramli

Umat Islam jangan cepat jatuh hukum

ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan orang ramai terutama umat Islam agar tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum kepada individu sekiranya berbeza pendapat.

Baginda bertitah, umat Islam seharusnya membetulkan sesuatu fahaman yang didapati salah atau meragukan dengan penuh hikmah dalam suasana persaudaraan.

"Kesatuan, persamaan dan persaudaraan adalah nilai fundamental yang menjadi pemangkin bagi perkembangan, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara.

"Demikian juga semangat al-Quran secara keseluruhan sebenarnya adalah semangat kesatuan ummah dan tiada alasan bagi umat Islam untuk berpecah belah kerana al-Quran mengajar kita jangan terlalu cepat menghukum orang lain yang mungkin kebetulan berbeza dari segi fahaman," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penutupan Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.

Pada majlis itu kumpulan nasyid Al-Islah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Perdana, Selangor diumum sebagai juara kategori Menengah dan kumpulan Soutun Najihin New Generation dari Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Ibnu Khaldun, Kota Samarahan, Sarawak diumum juara kategori Rendah.

Turut berangkat Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penganjuran festival nasyid dapat meningkatkan tahap intelek dan sahsiah dalam kalangan pelajar.

"Apa yang lebih penting, nasyid perlu dilihat sebagai satu daripada cabang kesenian Islam yang mampu menarik minat pelajar mendalami ilmunya.

"Kaedah pembelajaran melalui nasyid mampu membantu pelajar menghafal fakta dan isi penting, mengukuhkan daya ingatan, menarik minat, membina keseronokan, meningkatkan motivasi, penumpuan serta meningkatkan keyakinan diri pelajar," titah baginda.

15 dibaca
Berita Harian X