Selasa, 3 Julai 2018 | 11:55am
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Sharul Hafiz Zam

Kos ECRL perlu dikurang secara signifikan supaya berdaya maju

PUTRAJAYA: Kos sebenar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 688.3 kilometer (km) membabitkan perbelanjaan RM81 bilion dan ia perlu dikurangkan secara signifikan supaya berdaya maju dari segi kewangan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata, kos projek berjumlah RM81 bilion itu bagaimanapun tidak termasuk defisit kos operasi, yang tidak dapat ditentukan buat masa kini, selain berhadapan tentangan kerajaan Selangor yang membantah penyiapan landasan rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, projek ECRL diluluskan Kabinet pada 21 Oktober 2016 dengan perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan ditandatangani dengan China Communication Construction Company (CCCC) pada 1 November 2016.

Katanya, pada asalnya, projek ini bertujuan untuk membina satu laluan rel dari Terminal Bersepadu Gombak (ITT) di Selangor ke Wakaf Bharu di Kelantan pada harga RM46 bilion.

"Pada 13 Mei 2017, pentadbiran terdahulu menandatangani perjanjian tambahan dengan CCCC untuk melaksanakan Fasa ke-2 projek itu yang akan memperluaskan landasan dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang dengan nilai projek RM9 bilion.

"Sebelum itu pada 3 Mei 2017, Kabinet meluluskan projek untuk menyambung landasan rel utara dari Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor bernilai RM1.28 bilion. Pada 23 Ogos 2017, Kabinet meluluskan projek menaik taraf ECRL kepada projek landasan berkembar yang akan menelan perbelanjaan tambahan RM10.5 bilion.

"Oleh itu, berdasarkan nilai-nilai harga projek di atas, kos asas pembinaan landasan kereta api ini adalah berjumlah RM66.78 bilion," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berita Harian X