Isnin, 2 Julai 2018 | 9:06pm
TAN Sri Lee Lam Thye bersama Pengurus NIOSH Sabah, Wan Sarman Sakan meraikan anak-anak yatim di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Niosh Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan

Naikkan had umur kahwin kepada 18 tahun - MCPF

KOTA KINABALU: Kerajaan digesa membuat pindaan terhadap Akta Kanak-Kanak dengan menaikkan had umur perkahwinan bagi seorang wanita kepada 18 tahun.

Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata banyak pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah menyuarakan kebimbangan mereka berhubung isu perkahwinan kanak-kanak yang boleh membawa banyak implikasi negatif.

"Saya bagi pihak MCPF ingin mencadangkan supaya kerajaan mengambil berat terhadap perkara ini untuk menentang pernikahan bawah umur.

"Ini bagi mengelak kesan terhadap kesihatan, psikologi dan pendedahan kepada risiko keganasan serta penderaan. Ini adalah soal sensitif," katanya mengulas isu perkahwinan membabitkan kanak-kanak berusia 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 tahun di Kelantan.

Lam Thye berkata, MCPF berpendapat pindaan itu perlu dibuat dan banyak negara luar juga sudah melaksanakan undang-undang berkenaan untuk melindungi kanak-kanak bawah umur.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menghadiri majlis sambutan Aidilfitri NIOSH Wilayah Sabah.

Yang turut hadir, Pengurus NIOSH Wilayah Sabah, Wan Sarman Sakan.

Dalam perkembangan lain, Lam Thye berkata, majikan di negara ini yang sudah memiliki sijil Sistem Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OHS MS) diberi tempoh tiga tahun untuk mendapatkan pensijilan ISO45001 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Katanya, sijil ISO45001 adalah sijil pertama dikeluarkan Badan Standard Antarabangsa (ISO) pada 12 Mac 2018 dan akan menggantikan sijil dikeluarkan pelbagai pihak, termasuk OHSAS18001 dari Britain sebelum ini.

"Dengan adanya standard antarabangsa ini, maka OHSAS18001 akan terbatal. Bagi syarikat yang sudah memperoleh pensijilan OHSAS18001, mereka diberi tempoh tiga tahun iaitu sebelum 12 Mac 2021 untuk bertukar ke ISO45001.

"Pensijilan ini boleh diperoleh menerusi NIOSH Certification Sdn Bhd, anak syarikat NIOSH yang menyediakan perkhidmatan berkaitan pensijilan ISO45001," katanya.

15 dibaca
Berita Harian X