Sabtu, 30 Jun 2018 | 7:19pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) diiringi Exco Perumahan Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad (empat dari kanan) ketika melawat tapak projek Taman Seri Molek Perdana, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana siap Mac 2019

JOHOR BAHRU: Hampir 1,000 pembeli pangsapuri di Taman Seri Molek Perdana, Plentong, boleh menarik nafas lega apabila kediaman mereka yang terbengkalai beberapa tahun lalu, dijangka siap pada Mac tahun depan.

Berita gembira itu disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, kepada wakil pembeli ketika beliau mengadakan mesyuarat penyelarasan projek berkenaan, hari ini.

Zuraida berkata, hasil perbincangan dengan semua pihak bertanggungjawab, keputusan itu dibuat bagi membolehkan 10 peratus lagi kerja pembinaan disiapkan.

"Kita buat keputusan dan rumusan bahawa projek ini akan siap pada Mac 2019. Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) akan dikeluarkan selepas projek siap bagi membolehkan pembeli menduduki rumah mereka.

"Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dipertanggungjawabkan untuk memastikan projek disiapkan mengikut spesifikasi dan tempoh ditetapkan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat dan lawatan di tapak projek itu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Mohammad Mentek; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzukefly Ahmad dan Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman.

Zuraida berkata, antara lain mesyuarat juga memutuskan isu berkaitan pembayaran denda lewat penyerahan rumah (LAD) oleh pihak pemaju kepada pembeli.

Katanya, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berjanji akan memberikan tuntutan LAD sepenuhnya kepada pembeli secara berperingkat dalam jangka masa setahun.

"Tuntutan LAD dibuat berikutan projek ini sudah mengalami kelewatan hampir enam tahun (sehingga Mac 2019) dan SPNB selaku pemaju, berjanji untuk memberikan tuntutan itu kepada pembeli yang mana secara puratanya antara RM30,000 hingga RM60,000 mengikut jenis rumah.

"Selain itu, pembeli turut berdepan masalah dengan bank yang mana mereka tidak mampu membayar ansuran pinjaman bulanan kerana mempunyai komitmen lain.

"Dalam isu ini, SPNB memberi jaminan akan menulis surat kepada bank bahawa semua tunggakan hutang pembeli akan dijelaskan menggunakan wang LAD yang diterima pembeli selepas Mac 2019.

"Saya berharap bank terbabit akan memberi kerjasama atas permasalahan ini," katanya.

Sebelum ini, seramai 982 pembeli unit pangsapuri itu kecewa dengan pemaju yang gagal menyiapkan projek berkenaan.

Projek itu yang dikendalikan SPNB, mula dibina pada 2010 dan dijadualkan siap pada Mei 2013, namun kemudian dijual kepada Cosmic Master Development pada 2015.

Projek itu mempunyai enam blok kediaman, masing-masing unit berkeluasan 700 kaki persegi hingga 2,000 kaki persegi serta pelbagai kemudahan kolam renang, yang dijual antara RM50,000 dan RM250,000.

Berita Harian X