Sabtu, 30 Jun 2018 | 2:50pm
LEE Lam Thy. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Kementerian Pendidikan perlu kekang gejala buli

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) harap Kementerian Pendidikan dapat mengutamakan usaha menyemai sikap saling menghormati dan menghargai dalam kalangan pelajar sebagai pendekatan holistik mengekang gejala buli serta keganasan.

Ini termasuk memperkukuhkan subjek Pendidikan Moral dengan memberi penekanan terhadap kepentingan mempelajari dan mengamalkan 36 nilai murni dalam kehidupan seharian dan bukan sekadar menghafal semata-mata untuk lulus subjek berkenaan.

Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia penting memandangkan kaji selidik Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan bahawa tujuh daripada 10 kanak-kanak di negara ini bimbang mengenai isu buli.

Katanya, nisbah itu adalah tinggi berbanding kadar tiga daripada 10 kanak-kanak di Jepun atau kadar empat daripada 10 kanak-kanak di Britain yang risau mengenai gejala tidak sihat itu.

"Laporan kaji selidik ini menunjukkan bahawa anak-anak kita sangat prihatin terhadap isu buli.

"Malah, lebih membimbangkan lagi adalah hasil kaji selidik global itu juga mendapati bahawa 54 peratus kanak-kanak merasakan pandangan atau suara mereka terhadap isu itu tidak didengari selain merasakan suara mereka tidak mempengaruhi perubahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lam Thye, laporan itu sepatutnya membuka mata semua pihak mengenai betapa seriusnya isu berkenaan dan penyelesaian holistik mengenainya membabitkan semua pihak berkepentingan harus diambil.

Katanya, ia penting berikutan kes buli dan perlakuan ganas sejak kebelakangan ini turut mengakibatkan kematian.

"Buli dan keganasan harus dipantau kerana ia semakin meningkat dalam masyarakat kita. Pada umumnya, hampir tidak ada hari berlalu tanpa kes keganasan berlaku di rumah, sekolah atau di tempat lain.

Lam Thye berkata, berdasarkan daftar pelanggaran disiplin pelajar diterima Kementerian Pendidikan, sepanjang tahun ini sebanyak 1,054 kes dilaporkan sejak Januari hingga Jun.

Katanya, mengikut statistik, sebanyak 3,011 kes buli dilaporkan pada 2015 dan jumlah kes meningkat sehingga 3,488 kes pada 2016 sebelum turun kepada 2,795 kes pada 2017.

"Biarpun ada penurunan, kita mahu pihak yang berkaitan seperti Kementerian Pendidikan untuk memberi keutamaan terhadap usaha menyemai rasa saling menghormati dari segi agama, bangsa dan jantina supaya mereka menjadi pelindung antara satu sama lain daripada ancaman buli.

"Selain itu, kita mahu anak-anak kita mempunyai keseimbangan yang baik dari aspek fizikal, mental dan emosi kerana isu kesihatan mental juga faktor pendorong kes buli dan tindakan ganas," katanya.

Beliau berkata, program pembangunan kesihatan mental yang lebih baik perlu diperkenalkan dan lebih banyak kaunselor dengan kemahiran psikologi mesti ditempatkan di sekolah.

Katanya, tekanan dan kemurungan antara penyebab utama masalah kesihatan mental di kalangan pelajar.

"Pada 2016, nisbah mereka yang menghadapi masalah mental meningkat menjadi satu daripada lima orang berbanding nisbah satu daripada 10 orang yang dicatatkan pada 2011.

"Ini membimbangkan kerana membabitkan anak-anak di sekolah rendah dan menengah yang turut berpunca daripada pengaruh negatif rakan sebaya, masalah keluarga, buli fizikal dan siber selain pengaruh buruk Internet serta unsur berkait gangsterisme," katanya.

973 dibaca
Berita Harian X