Khamis, 28 Jun 2018 | 8:02pm
Allahyarham A Karim Omar.

Aktivis Islam meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Pertubuhan Muafakat Malaysia (MUAFAKAT), A Karim Omar, 60, meninggal dunia di Hospital Ampang (HA), dekat sini, kira-kira jam 8 pagi tadi.

Allahyarham yang juga aktivis Islam itu meninggal dunia akibat tekanan darah rendah, selepas dua hari dirawat di hospital berkenaan.

Anak bongsunya, Ahmad Ali Karim, 15, berkata ayahnya kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HA berikutan beberapa organnya tidak berfungsi dengan baik.

"Semalam, tekanan darah ayah semakin menurun dan doktor tidak mampu melakukan apa-apa kerana sudah memberi ubat secara maksimum kepada ayah.

"Secara fizikalnya, ayah memang sihat, tetapi ayah amat runsing akan masalah kedaulatan Islam pada masa ini dan kesannya pada masa depan.

"Dua hari dirawat di HA dan pagi tadi doktor memanggil kami semua dan kira-kira jam 8 pagi, ayah disahkan sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi NSTP.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Asmahan Ahmad, 54 dan lapan cahaya mata berusia antara 15 tahun hingga 34 tahun. Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid As-Sobirin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan AU4, Lembah Keramat selepas Zuhur.

Ahmad Ali berkata, pemergian ayahnya dianggap sebagai drastik berikutan ayahnya tidak menghidap sebarang penyakit, malah mampu memandu kereta ke mana-mana.

Allahyarham giat menulis artikel, antaranya berkaitan ancaman Evangelis, perjuangan musuh Islam, termasuk mendedahkan buku menggerakkan agen Kristianisasi.

Selain itu, Allahyarham juga adalah Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan Felo Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Sementara itu, YADIM dalam kenyataannya menerusi laman Facebook, menyifatkan pemergian Allahyarham seperti satu kehilangan permata dalam perjuangan Islam.

"Allahyarham dikenali sebagai seorang yang teguh dalam memperjuangkan Islam daripada awal hidupnya hingga ke akhir hayatnya.

"Allahyarham amat aktif bergerak bersama NGO Islam dan lantang dalam menyuarakan hak Islam," kata kenyataan itu.

154 dibaca
Berita Harian X