Isnin, 25 Jun 2018 | 11:38pm
ABANG Johari Abang Openg

Tiada halangan PPBM masuk Sarawak

SANTUBONG: Tiada halangan bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk mengembangkan cawangan ke Sarawak, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Katanya, perkara itu terpulang kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskannya.

"Itu (PPBM) parti dia (Dr Mahathir) dan terpulang kepadanya untuk menyebarkan parti dia," katanya kepada media selepas melakukan kunjungan Aidilfitri di kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Puan Sri Jamilah Anu di sini, malam ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai PPBM bercadang melebarkan sayapnya ke Sarawak bagi memenuhi permintaan rakyat negeri itu yang mahukan parti itu bertapak di sana.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM, dilaporkan berkata langkah itu juga seiring dengan keadaan semasa di Sarawak, di mana parti politik dalam Pakatan Harapan seperti PKR dan AMANAH telah berada di sana selain PAS.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, ketika ini pihaknya memberi fokus sepenuhnya untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara parti politik tempatan di Sarawak.

"Kami belum menerima butiran sebenar apa yang dinyatakan oleh Dr Mahathir (seperti yang dilaporkan petang tadi). Mungkin juga salah 'quote'....," katanya.

Mengenai pertemuan dengan Dr Mahathir di Kuala Lumpur, semalam, Abang Johari menafikan mereka berbincang mengenai kerjasama antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Pakatan Harapan (PH).

"Tiada sebarang perbincangan politik... kami betul-betul beraya di rumah beliau dan hanya bercakap mengenai makanan saja," katanya.

Berita Harian X