Sabtu, 23 Jun 2018 | 5:54pm
KETUA Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid (kiri) beramah mesra dengan Hasnah Mohd yang memperbaharui lesen memandu di kaunter bergerak JPJ yang disediakan ketika hadir pada program pemantauan trafik melalui udara bersama PLUS sempena cuti Hari Raya Aidilfitri di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah. - Foto L Manimaran

Strategi baharu JPJ beri kesan positif

TAPAH: Beberapa strategi berbentuk pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi sempena Hari Raya Aidilfitri 2018, termasuk rondaan bermotosikal membantu mengurangkan kemalangan.

Selain rondaan membabitkan 200 motosikal JPJ di 'kawasan panas' di seluruh negara yang diperkenalkan tahun ini, pegawai dan anggota meneruskan strategi menyamar sebagai penumpang bas sepanjang operasi berkenaan sejak 8 Jun lalu dan akan berakhir esok.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, strategi itu sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya sekali gus mengurangkan kemalangan di jalan biasa dan lebuh raya sepanjang musim perayaan berkenaan.

Beliau berkata, ia dibuktikan apabila jumlah saman dikeluarkan menunjukkan penurunan sebanyak 19 peratus iaitu 30,820 saman dikeluarkan sepanjang operasi itu setakat ini, berbanding 37,913 saman musim perayaan sama tahun lalu.

Katanya, menerusi strategi rondaan bermotosikal, sebanyak 5,341 saman dikeluarkan oleh peronda motosikal dan antara kesalahan dikesan termasuk tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.

"Pada masa sama, kita turut mengadakan Ops Khas Motosikal pada 12 dan 13 Jun lalu di seluruh negara, yang mana kita membuat pemeriksaan terhadap 25,304 motosikal dan daripada jumlah itu kita mengeluarkan sebanyak 4,400 saman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2018 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) arah utara Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini hari ini.

Terdahulu, Shaharuddin bersama Timbalan Pengarah Penguatkuasa JPJ, Datuk Ahmad Nasir Abdul Gani melakukan tinjauan trafik menerusi udara dengan menaiki helikopter di kawasan R&R berkenaan.

Shaharuddin berkata, operasi secara penyamaran pegawai JPJ dalam bas ekspres pula pihaknya mengeluarkan 658 saman ke atas bas termasuk 139 daripadanya terhadap pemandu kenderaan awam itu.

"Di semua terminal bas di seluruh negara, kita buat pemeriksaan pemandu dan secara keseluruhannya seramai 11 pemandu bas positif dadah dalam ujian awal air kencing, yang mana jika disabit kesalahan kita boleh membatalkan lesen memandu mereka," katanya.

Dalam pada itu, Shaharuddin berkata sebanyak 35,948 saman dikeluarkan berdasarkan kesalahan yang dikesan menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) sepanjang operasi sama.

Katanya, setakat ini sebanyak 47 kamera AWAS ditempatkan di seluruh negara termasuk 17 daripadanya di semua lebuh raya.

"Semua saman berkenaan membabitkan kesalahan melebihi had laju iaitu sebanyak 33,727 saman manakala bagi kesalahan melanggar arahan lampu isyarat, sebanyak 2,221 saman dikeluarkan," katanya.

Berita Harian X