Sabtu, 23 Jun 2018 | 3:38pm
LIM Guan Eng. - Foto Sairen Nafis

ECRL diteruskan selepas perbincangan semula kos

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan projek pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), selepas perbincangan semula mengenai kosnya diputuskan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata turut disemak semula adalah berhubung penangguhan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

"Kita sudah bayar RM20 bilion untuk projek ECRL, jadi tak masuk akal untuk kita mansuhkan ia begitu sahaja. Kita akan runding semula," katanya seperti yang dilaporkan portal The Malaysian Insight hari ini.

Projek ECRL yang dicadangkan pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mencetuskan kontroversi berikutan kosnya yang mencecah hingga RM70 bilion.

Laluan sepanjang 688 kilometer (km) itu dijangka menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pantai Timur melalui Kuantan, Pahang dan Pengkalan Kubor di Kelantan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menolak projek itu sambil menyifatkannya sebagai kontrak 'pelik' kerana negara perlu membiayai projek itu dengan pinjaman dari China, selain mengupah kontraktor dari negara itu.

Sementara itu, mengenai projek HSR, Guan Eng dipetik sebagai berkata, beliau sudah mengarahkan peguam negara meneliti aspek perundangan dalam perjanjian kontrak HSR untuk membolehkan perbincangan dengan Singapura.

"Kita sudah semak angka, ada aspek kewangan, kejuruteraan, dan undang-undang. Kami telah kaji kedua-duanya dan kini hanya menunggu aspek perundangan daripada beliau," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, projek HSR hanya ditangguhkan dan bukannya dibatalkan.

Beliau dipetik berkata, kos keseluruhan pembinaan HSR untuk laluan sepanjang 350km dijangka menelan belanja RM110 bilion dan jumlah itu terlalu tinggi kerana kerajaan sedang berusaha mengurangkan hutang negara yang kini mencecah RM1 trilion.

Perdana Menteri pada 28 Mei lalu berkata kerajaan berkemungkinan perlu membayar pampasan hingga RM500 juta kepada Singapura sekiranya membatalkan projek itu yang dijangka memendekkan masa perjalanan KL-Singapura dalam tempoh 90 minit sahaja.

86 dibaca
Berita Harian X