Jumaat, 22 Jun 2018 | 12:24am
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - FotoREUTERS

Najib dakwa Guan Eng tidak jujur

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, tidak jujur mengenai projek Tun Razak Exchange (TRX) dan City Sdn Bhd (TRXC).

Bekas Perdana Menteri berkata, walaupun gembira kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek TRX, beliau terpanggil untuk menekankan bahawa Guan Eng menyebarkan kenyataan 'separuh benar' kalau tidak 'menipu' sama sekali.

"Pengambilalihan TRXC oleh MOF Inc untuk bayaran nominal RM1 berkuatkuasa 31 Mac 2017 adalah langkah penting dalam aspek keseluruhan pelan rasionalisasi 1MDB di mana selepas mengambil alih dua aset utama itu, MOF Inc kemudian mengambil alih pembayaran liabiliti tertentu 1MDB daripada 1 April 2017, sebagai balasan kepada pemindahan aset.

"Guan Eng sendiri mengakui bahawa walaupun dengan tambahan suntikan dana sehingga RM2.8 bilion oleh MOF Inc, projek TRX akan bernilai sekurang-kurangnya RM7.8 bilion dan akan menunjukkan keuntungan. Sudah tentu ini tidak boleh dipanggil penyelamatan (bail out) jika wang yang diguna itu menjana keuntungan.

"Bagaimanapun, tatkala Guan Eng secara mudah menggabungkan komitmen Kerajaan Persekutuan berjumlah RM3.7 bilion untuk projek TRX dan Bandar Malaysia, beliau tidak bercakap mengenai nilai ketara aset hartanah dalam kedua-dua projek ini, terutama projek Bandar Malaysia," katanya dalam paparan di laman Facebook beliau hari ini.

Tambah Najib, jika dirancang dengan betul, dipasarkan dan dibangunkan, hartanah Bandar Malaysia saja boleh bernilai sehingga RM30 bilion dan lebih penting, tiada wang daripada TRXC diseleweng oleh 1MDB, sebaliknya seperti mana amalan kebanyakan syarikat, kira-kira RM3 bilion pinjaman dalaman syarikat dibuat dalam jangka masa tertentu oleh TRXC kepada 1MDB.

Katanya, memandangkan TRXC adalah milik penuh 1MDB, yang dimiliki Kementerian Kewangan, tidak mungkin 1MDB mencuri RM3 bilion daripada syarikatnya sendiri untuk melunaskan hutangnya.

"Semua pinjaman dalaman syarikat ini dibayar balik oleh 1MDB berkuatkuasa 31 Mac 2017, menerusi gandingan bayaran tunai dan timbal balik bersandarkan kepada dividen dibayar oleh TRXC kepada 1MDB, yang dilakukan dengan kelulusan MOF Inc dan disemak dengan teliti serta ditandatangani oleh auditor TRXC dalam penyata kewangan 31 Mac 2017," katanya.

"Sekali lagi, saya mengingatkan Guan Eng supaya jangan buat kenyataan berlandaskan fakta yang salah bagi membalas dendam politik (Pakatan Harapan) terhadap saya atau kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Bukan saja tidak profesional, tindakan ini menakutkan pelabur matawang, bon dan pasaran saham. Semestinya kemakmuran ekonomi lebih penting berbanding kenyataan berbaur politik," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X