Rabu, 20 Jun 2018 | 5:34pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo. - Foto Aswadi Alias

Harga jalur lebar dijangka turun - Gobind

PUTRAJAYA: Harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, penurunan harga itu berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) pada 8 Jun lalu yang berkuat kuasa 1 Januari 2018, yang mengenakan harga siling borong bagi pembekal kemudahan dan perkhidmatan yang digunakan syarikat telekomunikasi di pasaran.

Menurutnya, penurunan harga borong itu kelak akan turut mengurangkan harga pasaran jalur lebar bagi pengguna.

"Pihak yang terbabit masih dalam perbincangan penetapan harga borong dan proses ini akan berakhir pada Julai atau Ogos ini, seterusnya pakej perkhidmatan jalur lebar pada harga yang lebih rendah akan diperkenalkan kepada pengguna," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di sini, hari ini.

Gobind berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah mengkaji polisi MSAP pada 2017 dan semakan harga sepatutnya diperkenalkan pada 1 Januari lalu.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak dapat dilaksanakan kerana Telekom Malaysia Berhad (TM) merayu supaya SKMM mengkaji semula beberapa butiran komponen harga dan keputusan untuk kajian semula itu ditangguhkan sementara menunggu pertimbangan menteri ketika itu.

"Selain itu, saya turut mengarahkan SKMM supaya mempertimbangkan langkah yang boleh menurunkan lagi harga jalur lebar dan memantau harga jalur lebar di negara ini supaya harga pakej peringkat permulaan adalah munasabah untuk rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata, kementeriannya akan menjalankan audit bebas terhadap Dana SKMM dan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), masing-masing berjumlah RM800 juta dan RM8.5 bilion setakat 31 Disember 2016.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau menerima persoalan berhubung pengagihan dan perbelanjaan dana berkenaan, dan audit yang dijalankan kelak bertujuan mengesahkan amaun dalam akaun serta meningkatkan ketelusan dalam penggunaannya.

"Dana SKMM adalah bagi keperluan SKMM seperti yang ditetapkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, manakala Dana USP yang turut diuruskan SKMM bertujuan mengurangkan jurang digital kawasan luar bandar dan kawasan di mana perkhidmatan adalah terhad dengan memberi perkhidmatan komunikasi dan akses internet melalui projek infrastruktur, dan ia wajib disumbangkan syarikat telekomunikasi.

"Audit ini nanti dijangka mengutarakan kelemahan dalam penggunaan dana jika ada dan masalah dalam proses penganugerahan serta pelaksanaan projek di bawahnya sehingga hari ini," katanya.

Ditanya sama Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia untuk menyiarkan secara langsung debat calon Presiden UMNO iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin jika berlaku, Gobind berkata, beliau tidak ada masalah jika platform untuk program itu diperlukan.

61 dibaca
Berita Harian X