Selasa, 19 Jun 2018 | 4:29pm

EU batal larangan guna bio bahan api sawit

KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) membatalkan cadangan melarang penggunaan bio bahan api berasaskan minyak sawit sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Dr Kalyana Sundram, berkata perkara itu diputuskan dalam rundingan tiga penjuru antara Parlimen EU, Majlis Eropah dan Suruhanjaya Eropah pada 14 Jun lalu.

Buat masa ini, katanya, EU kekal dengan draf Arahan-Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) yang membenarkan bio bahan api berasaskan tanaman, termasuk minyak sawit, untuk terus digunakan sehingga 2030.

"Keputusan ini adalah satu kejayaan selepas aktif berkomunikasi dengan negara Eropah untuk tidak melaksanakan larangan pada 2021 itu dan melihatnya secara positif.

"Bagaimanapun, kita perlu segera melihat ke depan kerana cadangan mengurangkan penggunaan minyak sawit menjelang 2030 kekal dan kita menanti perincian lebih jelas daripada EU berhubung cadangan itu.

"Kita akan melihat sama ada pengurangan minyak sawit dalam tempoh 12 tahun itu selari dengan pematuhan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit serta kesannya kepada Perjanjian Perdagangan Bebas EU-Malaysia (MEUFTA)," katanya pada sidang media di Wisma Sawit di sini, hari ini.

Januari lalu, Parlimen EU mencadangkan penggunaan bio bahan api berasaskan minyak sawit dilarang di rantau itu bermula 2021.

Cadangan itu mengundang kecaman hebat Malaysia dan Indonesia yang menyumbang hampir 90 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit dunia.

Malaysia turut menyifatkan cadangan itu sebagai diskriminasi tanaman ala 'aparteid' kerana bio bahan api berasaskan tanaman lain boleh terus digunakan sehingga 2030.

Kalyana berkata, MPOC akan memastikan segala perkara berkait dengan minyak sawit dalam usaha EU itu akan dibangkitkan bagi memastikan industri minyak sawit tempatan tidak terjejas, khususnya eksport komoditi itu ke Eropah.

Katanya, MPOC turut menggariskan enam cadangan bagi mendepani sentimen anti-minyak sawit di Eropah yang mengaitkan komoditi itu dengan penebangan hutan, perubahan iklim dan ancaman kepada hidupan liar dan biodiversiti.

"Kami merancang meningkatkan aktiviti lapangan dan bekerjasama dengan rakan industri, selain berurusan dengan pematuhan baharu yang mungkin ditetapkan EU.

"MPOC menjangkakan EU bakal memperketatkan syarat dan mahu kebolehkesanan dalam rantaian pembekalan minyak sawit dan kami akan memastikan syarat itu dapat dipatuhi.

"Kita akan meneroka pasaran baharu secara lebih agresif terutama di rantau Asia, Afrika dan Asia Barat untuk mengimbangi kemungkinan berlaku pengurangan permintaan dari pasaran Eropah," katanya.

Mengenai pasaran baharu yang sudah dikenal pasti, Kalyana berkata, fokus baharu MPOC adalah pasaran negara Afrika susulan permintaan tinggi di rantau itu, selain permintaan Asia Barat yang kembali meningkat.

"Kita membuka pejabat di Ghana baru-baru ini, selain akan meningkatkan aktiviti promosi di Habsyah susulan peningkatan permintaan minyak sawit dalam tempoh 24 bulan ini serta aktiviti pemasaran di seluruh Afrika," katanya.

Mengenai unjuran harga minyak sawit mentah (CPO), Kalyana berkata, pihaknya menjangkakan antara RM2,400 hingga RM2,500 satu tan dan yakin mampu dicapai pada tahun ini.

"Oleh kerana dagangan minyak sawit terikat dengan dolar Amerika Syarikat (AS), pengukuhan mata wang itu terhadap ringgit serta penyusutan ringgit terhadap dolar AS akan memberi impak terhadap harga komoditi ini di pasaran," katanya.

SIDANG media Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Palm Oil Council (MPOC), Datuk Dr Kalyana Sundram mengenai 'EU Proposed 2021 Ban On Palm Biofuel' di Wisma Sawit, Kelana Jaya. - Foto Nik Hariff Hassan
Berita Harian X