Selasa, 19 Jun 2018 | 4:01pm
TINJAUAN harga ikan di Pasar Basah Chow Kit selepas musim perayaan Hari Raya Aidilfitri. - Foto Hafiz Sohaimi
TINJAUAN harga ikan di Pasar Basah Chow Kit selepas musim perayaan Hari Raya Aidilfitri. - Foto Hafiz Sohaimi

Harga barangan basah munasabah

KUALA LUMPUR: Harga barangan basah didapati kekal pada musim perayaan kali ini walaupun bekalan dikatakan sekadar mencukupi bagi menampung permintaan semasa.

Tinjauan NSTP di pasar Chow Kit di ibu negara hari ini mendapati, hanya ikan tongkol mengalami kenaikan harga daripada RM9 satu kilogram (kg) kepada RM10 manakala harga ikan kembung, sardin, bawal, tenggiri, kerisi dan siakap kekal antara RM8 hingga RM17 setiap kg.

Peniaga , Faisal Amri, 40, berkata harga barang basah termasuk ikan sama sejak beberapa bulan lalu kerana tidak dipengaruhi kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Perubahan harga di sini bergantung kepada pemborong dan jika kebetulan bekalan ikan, udang dan sotong banyak, harganya akan turun.

"Macam sekarang bekalan tidak banyak, maka harganya kekal. Jika pelanggan tawar harga, kita susah kerana tidak mendapat untung banyak," katanya.

Seorang lagi peniaga, Suparno Saimin, 54, berkata kebanyakan pelanggan memahami situasi semasa dan tiada aduan diterima berhubung harga barangan basah di pasaran.

"Pelanggan menganggap harga ditawarkan masih munasabah dan kita jangkakan harga barang basah turun sedikit minggu depan kerana bekalan baharu sampai," katanya.

Berita Harian X