Ahad, 17 Jun 2018 | 4:46pm
MENTERI Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Anggota Parlimen Pagoh ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh. - Foto BERNAMA

'Dah lama arah tangkap Jho Low'

MUAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah lama mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap dan membawa pulang ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yakin Ketua Polis Negara dan PDRM akan mengambil langkah sewajarnya bagi menahan Jho Low.

"Jawatankuasa Petugas Khas 1MDB akan membuat keputusan tetapi arahan menangkap Jho Low dan dibawa pulang sudah lama saya minta PDRM buat.

"Tunggulah. Pihak bertanggungjawab termasuk PDRM akan mengambil langkah sewajarnya," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh, diminta mengulas sama ada Jho Low akan ditahan dan dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Selasa lalu, Jho Low muncul di Dubai dan memaklumkan sedia menjawab soalan penyiasat berhubung 1MDB tetapi perlu dilakukan di negara itu.

Sumber kerajaan berkata, sebelum pertemuan itu berlangsung, peguam Jho Low akan terlebih dulu berbincang dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Dubai mengenai aspek siasatan yang boleh dibantu oleh anak guam mereka.

Bagaimanapun, Wall Street Journal melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menolak tawaran Jho Low itu yang disampaikan menerusi orang tengah.

Berita Harian X