Rabu, 13 Jun 2018 | 5:49pm
AHLI keluarga dan kenalan mengangkat keranda bekas Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Ahmad Puad Onah di Seksyen U16, Denai Alam, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Bekas Pengarang Kumpulan HM meninggal dunia

SHAH ALAM: Bekas Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM) Ahmad Puad Onah, 62, meninggal dunia akibat sakit jantung di kediamannya di Seksyen U16, Denai Alam, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Allahyarham yang pernah menjawat pelbagai jawatan di dalam persatuan penggiat seni perfileman tanah air itu menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan anak-anaknya.

Anak Allahyarham, Azrul, 27, berkata arwah sempat bangun pada awal pagi tadi untuk bersahur bersama mereka sekeluarga.

Katanya, arwah sudah lama menghidapi sakit jantung sejak beberapa tahun lalu dan ia menjadi kritikal sejak Februari lalu selepas dimasukkan ke hospital.

"Arwah memang ada sakit jantung, ia semakin kronik selepas kami sekeluarga pulang dari Hong Kong bulan Februari lalu.

"Pagi tadi arwah bangun bersahur, dan selepas itu dia tidur semula sebelum menghembuskan nafas terakhirnya," katanya ketika ditemui, di sini.

Jenazah Allahyarham dikafankan serta disembahyangkan di Surau Al-Abrar, Denai Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, pada jam 5 petang tadi.

Selain ahli keluarga dan saudara-mara, beberapa kenalan sepanjang Allahyarham terbabit dalam bidang kewartawanan turut hadir ke kediamannya bagi menziarahinya.

Antaranya termasuk bekas Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mior Kamarulbaid Shahid, bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Datuk A Kadir Jasin, Penolong Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan dan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang.

Allahyarham pernah menjadi Pengarang Kumpulan HM pada 1992 sebelum melepaskan jawatan itu pada 1994 susulan lantikannya sebagai Timbalan Pengurus Berita/Sukan TV3.

Beliau kemudiannya turut menjawat pelbagai jawatan lain termasuklah Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Presiden Gabungan Persatuan Penggiat Filem Malaysia (GAFIM), Pengurus Besar Grand Briliance Sdn Bhd (GBSB) serta Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Berita Harian X