Isnin, 11 Jun 2018 | 10:16pm
MOHAMAD Fuzi Harun

Ketua Polis Negara bakal diganti?

KUALA LUMPUR: Desas-desus berlaku rombakan besar-besaran dalam kepemimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM), apabila nama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, kini dikhabarkan bakal diganti.

Bagaimanapun, usaha NSTP mendapatkan pengesahan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan penjelasan Mohamad Fuzi sendiri tidak berjaya.

Setiausaha akhbar Muhyiddin ketika dihubungi, meminta wartawan mendapatkan penjelasan Menteri Dalam Negeri yang akan berada di Kuala Lumpur esok.

Muhyiddin berada di Johor menghadiri program berbuka puasa di Surau Saadiah, Jalan Bakri, Muar, malam tadi.

Portal berita The Malaysian Insight hari ini, memetik sumber berkata, penyingkiran Mohamad Fuzi adalah disebabkan kegagalannya bertindak terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohamad Fuzi mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara berikutan persaraan Tan Sri Khalid Abu Bakar pada September tahun lalu.

Pagi tadi, The Straits Times Singapura juga memetik sumber sebagai berkata, 'Ya, akan ada gempa 8.5 skala Ritcher (dalam pasukan polis) berlaku pada Julai," kata sumber itu.

Sementara itu, sumber NSTP memaklumkan tiga nama sudah disenaraikan sebagai pengganti Mohamad Fuzi.

"Antara nama disenaraikan adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Pengarah Teknologi (StaRT) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan seorang lagi pegawai kanan yang tidak boleh didedahkan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad ketika dihubungi, berkata Mohamad Fuzi masih bertugas seperti biasa.

Sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi pernah menyandang jawatan Pengarah Cawangan Khas, Pengarah Pengurusan, Pengarah Pasukan Petugas Khas (Counter Terrorism) Bukit Aman.

Senarai bekas Ketua Polis Negara:

1. Tan Sri Sir Claude Fenner- 18 September 1958 hingga 1966

2. Tun Mohamed Salleh Ismael- 6 Mac 1966 hingga 31 Januari 1973

3. Tan Sri Abdul Rahman Hashim-1 Februari 1973 hingga 7 Jun 1974

4. Tun Mohd Hanif Omar- 8 Jun 1974 hingga 15 Januari 1994

5. Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor- 16 Januari 1994 hingga 7 Januari 1999

6. Tan Sri Norian Mai - 8 Januari 1999 hingga 4 November 2003

7. Tan Sri Mohd Bakri Omar- 5 November 2003 hingga 11 September 2006

8. Tan Sri Musa Hassan- 12 November 2006 hingga 12 September 2010

9. Tan Sri Ismail Omar - 13 September 2010 hingga 16 Mei 2012

10. Tan Sri Khalid Abu Bakar - 17 Mei 2012 hingga 4 September 2017

11. Tan Sri Mohamad Fuzi Harun - 4 September 2017 hingga sekarang

3095 dibaca
Berita Harian X