Sabtu, 9 Jun 2018 | 9:27pm
PELAKON utama filem Pulang, Remy Ishak, meluangkan masa berbuka puasa bersama pemenang bertuah peraduan menerusi portal Hijab & Heels. - Foto Hairul Anuar Rahim

Pemenang berbuka puasa bersama Remy Ishak

JOHOR BAHRU: Pelakon utama filem Pulang, Remy Ishak, meluangkan masa berbuka puasa bersama 10 pemenang bertuah peraduan menerusi portal Hijab & Heels.

Remy atau nama sebenarnya, Mohamad Zalimie Ishak, 36, memegang watak sebagai Othman, lelaki yang hilang di laut dan terpisah daripada keluarga ketika pelayaran ke Liverpool era Perang Dunia Kedua dalam filem berkenaan.

Filem itu adalah kisah benar inspirasi daripada keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar yang mana beliau kehilangan datuknya, Othman Alias, pada tahun 1940-an.

Pulang yang diterbitkan Primeworks Studios iaitu anak syarikat Media Prima Berhad, adalah sebuah filem berat yang memaparkan latar belakang Perang Dunia Kedua ketika zaman diserang Jepun.

Berkongsi pengalaman menjalani penggambaran filem berkenaan, Remy mengakui ia bukan mudah kerana banyak bermain dengan teknik CGi.


PELAKON utama filem Pulang, Remy Ishak, meluangkan masa berbuka puasa bersama pemenang bertuah peraduan menerusi portal Hijab & Heels. - Foto Hairul Anuar Rahim

"Saya perlu banyak bermain dengan kaedah CGi yang bukan mudah untuk saya gambarkan, seperti ombak dan elemen lain yang diperlukan dalam filem ini," katanya pada majlis berbuka puasa itu.

Peraduan trivia Pulang dianjurkan bermula 29 Mei lalu hingga 3 Jun menerusi portal gaya hidup vertikal wanita, Hijab & Heels.

Pemenang peraduan yang bertuah itu hadir dari sekitar daerah ini, Melaka dan Kuala Lumpur bagi beramah mesra bersama Remy di Restoran Selasih, Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) di sini.

Filem berkenaan akan menemui penonton di pawagam pada 26 Julai ini.

Filem arahan pengarah hebat, Kabir Bhatia itu turut dibintangi pelakon Puteri Aishah, Azrel Ismail, Juliana Evans dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Bagi seorang pemenang, Haslina Abd Rahman, 41, beliau nyata terkejut apabila dipilih sebagai antara yang bertuah.

"Saya memenangi novel Pulang yang ditandatangani sendiri oleh Remy dan Puteri Aishah. Saya sungguh gembira kerana dapat berbual bersama Remy dan merakam gambar bersamanya," kata guru dari Bandar Selesa Jaya di sini.


REMY Ishak bergambar bersama pemenang pada majlis berbuka puasa bersama pemenang bertuah peraduan menerusi portal Hijab & Heels di Restoran Selasih, Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA), Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Berita Harian X