Jumaat, 8 Jun 2018 | 8:44am
PANGLIMA Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Abd Wahab menyampaikan sumbangan bungkusan Hari Raya  kepada pegawai dan anggota TUDM yang bertugas di Pusat Bantuan Operasi Udara (PBOU) Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming

PBOU awasi ruang udara ESSZONE

TAWAU: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui Pusat Bantuan Operasi Udara (PBOU) Tawau, sentiasa bersiapsiaga mengawasi ruang udara kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Abd Wahab, berkata bagi menyokong peranan itu TUDM menempatkan aset udara dari No 7 Skuadron iaitu helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri untuk melaksanakan tugas operasi udara mengikut keperluan semasa.

"Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan di kawasan operasi sentiasa berada pada tahap terbaik, seramai 44 pegawai dan anggota akan bertugas di PBOU termasuk ketika musim perayaan Aidilfitri.

"Mereka bertanggungjawab melaksanakan pemantauan ruang udara dan menyokong keperluan operasi jika ada laporan ancaman dari Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM) serta Angkatan Tugas Bersama 2," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan bungkusan Aidilfitri kepada petugas PBOU Tawau yang turut dihadiri Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Datuk Mohd Shabre Hussein.

Sumbangan dari Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu mengandungi barangan keperluan, makanan dan kelengkapan diri selain duit raya sumbangan Tabung Kebajikan TUDM bagi menghargai pengorbanan warganya yang bertugas ketika lebaran.

PBOU Tawau adalah pangkalan hadapan untuk menyokong operasi udara di negeri ini, selain berperanan melaksanakan misi mencari dan menyelamat (SAR).

Berita Harian X