Khamis, 7 Jun 2018 | 4:20pm

SPRM minta Nik Faisal, Jho Low tampil bantu siasatan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta dua individu untuk segera tampil bagi membantu siasatan kes SRC International Sdn Bhd (SRC).

Mereka adalah Pengarah SRC, Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil, 47, dan ahli perniagaan, Low Taek Jho, 37, yang turut dikenali sebagai Jho Low.

SPRM memaklumkan, Nik Faisal Ariff Kamil yang memiliki kad pengenalan bernombor 710304-10-6303 mempunyai alamat terakhir di No 17, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam, Selangor dan No 19, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam, Selangor.

Katanya, Low Taek Jho pula yang memiliki kad pengenalan bernombor 811104-07-5701 mempunyai alamat terakhir di 69, Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

"Sehubungan dengan itu, SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali kedua-dua individu berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Kanan Pesuruhjaya Rosli Husain di talian 03-88700529 atau 010-3187757, e-mel kepada roslihusain@sprm.gov.my atau mana-mana Pejabat SPRM terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, SPRM memaklumkan sedang mengesan dua individu yang dipercayai melarikan diri ke luar negara, untuk membantu siasatan kes SRC. Individu berkenaan dikenali sebagai Mohamed Redzuan Adamshah, 43, dan Toh Lean Seng, 45.

Berita Harian X