Khamis, 7 Jun 2018 | 4:00pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Asyraf Hamzah

KDN tunggu maklumat sebelum dakwa Jho Low

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menunggu beberapa maklumat tepat sebelum memutuskan untuk menangkap dan mendakwa ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung skandal kewangan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata semua sudah maklum Jho Low adalah penjenayah utama yang menjadikan skandal 1MDB sebagai skandal terbesar dunia, namun ada perkara perlu diselesaikan dulu sebelum sebarang tindakan seterusnya dapat diambil.

"Ada orang tanya saya kenapa tidak tangkap Jho Low. Saya jawab, kita sedang menunggu untuk mendapat maklumat tepat.

"Tunggu sedikit masa lagi. Saya sedar ada pihak tidak mahu tunggu dan mereka mahu tindakan tegas diambil segera terhadap individu berkenaan," katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau juga sedar rakyat kini sedang mempersoalkan kenapa tiada tindakan diambil terhadap isu berkenaan selepas tiga minggu kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Katanya, beliau perlu mengikut prosedur tertentu, tetapi pada masa sama, mahu individu dinamakan berhubung isu itu diambil tindakan tegas mengikut undang-undang kanun jenayah dan rasuah.

Beliau berkata, sebarang usaha membawa individu berkenaan ke muka pengadilan perlu disegerakan dan tidak boleh diketepikan.

"Kita juga perlu membantu pelbagai pihak termasuk Pasukan Petugas Khas 1MDB bagi melengkapkan siasatan.

"Kita perlu beri sepenuh kerjasama untuk bertindak terhadap pihak terbabit tanpa mengira bulu dan warna," katanya.

Pada 18 Mei lalu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin meminta Jho Low pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Daim dilaporkan berkata, Jho Low adalah individu terpenting dan utama bagi membantu siasatan 1MDB.

Berita Harian X