Rabu, 6 Jun 2018 | 6:05pm
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow semasa sidang media di pejabat Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Pulau Pinang. - Foto Muhammad Mikail Ong

Beri cadangan Ketua Menteri 2 penggal

GEORGETOWN: Penasihat Undang-Undang sudah mengemukakan kertas cadangan berhubung pelaksanaan mengehadkan tempoh perjawatan Ketua Menteri kepada dua penggal.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata Penasihat Undang-Undang mencadangkan untuk menambah sub klausa dalam Perlembagaan Pulau Pinang bagi pelaksanaan usul berkenaan, seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

"Penasihat Undang-Undang kerajaan negeri mencadangkan sub klausa berkenaan dimuatkan dalam Perkara 7 klausa (2A), iaitu tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh dilantik sebagai Ketua Menteri lebih daripada dua kali.

"Ia agak berbeza dengan apa yang dijanjikan sebelum ini kerana ada perbahasan mengenai definisi dua penggal. Dua penggal boleh difahamkan sebagai dua pilihan raya yang mana ia boleh dijalankan dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun.

"Hasrat kita adalah untuk memastikan tiada ADUN memegang jawatan Ketua Menteri melebihi 10 tahun. Justeru, Penasihat Undang-Undang kerajaan negeri mencadangkan sedemikian," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, PH Pulau Pinang dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji untuk mengehadkan tempoh perjawatan Ketua Menteri kepada dua penggal, sekiranya mereka diberikan mandat oleh rakyat.

Kon Yeow berkata, orang ramai diminta mengemukakan pandangan masing-masing kepada kerajaan negeri berhubung cadangan pelaksanaan usul mengehadkan tempoh perjawatan Ketua Menteri itu.

"Orang ramai boleh menghantar maklum balas mereka menerusi e-mel selain berharap pendengaran awam mengenai usul ini dapat dilakukan dan kita akan mengambil kira setiap pandangan mereka.

"Kita mahu mendengar pandangan atau ulasan terbaik mengenai usul ini, selain berharap penggubalan Perlembagaan negeri bagi tujuan demikian dapat dilakukan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual berlangsung Ogos ini," katanya.

Berita Harian X