Isnin, 4 Jun 2018 | 3:31pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Cari mekanisme terbaik selesai masalah pembeli rumah pertama

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membincangkan masalah pembeli rumah pertama yang sukar mendapat pinjaman perumahan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata pihaknya akan cuba mencari mekanisme terbaik bagi memastikan isu itu dapat diselesaikan, terutama membabitkan permohonan membeli rumah mampu milik.

"Ketika ini, saya sedang menyelaraskan isu penarafan kredit bagi rumah kos rendah. Selepas itu, kita akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan dan BNM, berkemungkinan besar selepas Aidilfitri.

"Isu umumnya sekarang, kita lihat berdasarkan gaji pertama (pemohon pinjaman perumahan), mungkin mereka tidak mampu. Namun, kebanyakan rakyat Malaysia sekarang, terutama yang berpendapatan rendah, ada pendapatan kedua dan ketiga, selain isteri turut mempunyai pendapatan.

"Ia (pendapatan sampingan) bagaimanapun tidak diambil kira dalam sistem permohonan. Jika itu isunya, kita akan mencari mekanisme supaya ia diambil kira, termasuk melalui bukti dokumen dan sebagainya bagi memudahkan pemohon," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, beliau akan mengemukakan kertas Kabinet kepada Jemaah Menteri selewat-lewat bulan depan berhubung penyelarasan semua projek perumahan bawah KPKT.

"Kita ada 10 projek perumahan bawah pelbagai agensi, ketika ini, dan akan menyelenggarakan semuanya bawah kementerian ini," katanya.

Katanya, projek menggunakan perkataan '1Malaysia' juga akan dijenamakan semula dengan nama gantian yang sesuai berdasarkan persetujuan Kabinet.

Berhubung isu warga asing mendiami rumah kos rendah dan sederhana pula, beliau berkata, KPKT akan meneliti perkara itu dari segi perundangan, termasuk terma dalam perjanjian jual beli, dan ia dijangka mampu diselesaikan secepat mungkin.

26 dibaca
Berita Harian X