Ahad, 3 Jun 2018 | 4:14pm
AKTIVIS sosial, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Owee Ah Chun

Tiga isu perlukan perhatian: Lam Thye

KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Kesihatan perlu memberi perhatian kepada tiga isu utama dalam usaha meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata wujud keperluan memperkenalkan pelan pembangunan kesihatan mental berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi 2015 yang menunjukkan kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami pelbagai masalah mental.

"Sejak kebelakangan ini, kita kerap dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah termasuk pembunuhan membabitkan suspek yang menderita gangguan mental.

"Nisbah pelajar yang mengalami masalah mental juga meningkat dari satu dalam 10 pada 2011 kepada satu dalam lima pada 2016," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bulan lalu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Majlis Penasihat Kesihatan bebas akan ditubuhkan bagi mengukuhkan kementerian dan membawa perkhidmatan kesihatan negara ke peringkat lebih tinggi.

Lam Thye turut mencadangkan perkhidmatan kesihatan awam di hospital dan klinik kerajaan ditingkatkan.

"Walaupun pelbagai penambahbaikan sudah dibuat, ia perlu dipertingkatkan menerusi penggunaan peralatan lebih baik dan sistem teknologi maklumat terkini untuk membantu mempercepat diagnosis penyakit, selain mengurangkan masa menunggu," katanya.

Mengenai aspek keselamatan semua premis kesihatan terutama hospital dan klinik, beliau berkata, ia perlu berada pada tahap memuaskan kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati masih ada premis kesihatan berisiko tinggi berlaku kebakaran.

"Kebakaran yang memusnahkan beberapa bahagian forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Mac lalu menunjukkan ia boleh berlaku di bangunan penting pada bila-bila masa," katanya.

Pada 25 Oktober 2016, kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru menyebabkan enam kematian disebabkan oleh kapasitor lampu yang terbakar.

Katanya, pihak berkuasa harus menjalankan audit keselamatan tahunan di semua premis kesihatan seperti hospital di seluruh negara, terutama yang berusia lebih 20 tahun.

"Audit keselamatan harus membabitkan pemeriksaan menyeluruh mengenai pendawaian elektrik di bangunan dan kemudahan itu.

"Pihak berkuasa yang menjalankan pemeriksaan itu juga perlu mengenal pasti tahap keselamatan termasuk bahaya kebakaran yang mungkin disebabkan oleh bahan pendawaian dan bahan bangunan mudah terbakar," katanya.

Berita Harian X