Jumaat, 1 Jun 2018 | 8:35pm
LIM Guan Eng menerima sumbangan cek berjumlah RM13,476.57 dari Nik Shazarina Bakti (kanan) untuk Tabung Harapan Malaysia dan turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobindh Singh Deo, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Dasar, Datuk Siti Zauyah Md Desa dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Maria Chin Abdullah semasa sidang media khas di Kementerian Kewangan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Semak nombor akaun sebelum transaksi - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menasihatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu nombor akaun Tabung Harapan Malaysia (THM) sebelum membuat sebarang transaksi.

Katanya, ini berikutan terdapat poster palsu tabung itu yang tersebar luas di laman sosial , memaparkan nombor akaun yang berlainan daripada yang diumumkan.

"Nombor akaun THM adalah 5660-1062-6452 (Maybank)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng menegaskan, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap mana-mana individu yang cuba mengambil kesempatan atas kebaikan orang ramai.

Sejak dilancarkan Rabu lalu sehingga 3 petang ini, THM berjaya mengumpul sebanyak RM18.6 juta.

THM dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas ramai pihak menyuarakan hasrat untuk membantu kerajaan mengurangkan hutang negara yang berjumlah RM1 trilion. - BERNAMA

Berita Harian X