Jumaat, 1 Jun 2018 | 4:35pm
DATUK A. Kadir Jasin menjawab soalan pihak media ketika keluar dari pekarangan Menara Ilham . - Foto Mohd Yusni Ariffin

Wartawan berhak 'bebaskan' akhbar, media

KUALA LUMPUR: Kumpulan wartawan boleh mengemukakan petisyen sekiranya mahu akhbar dan media di negara ini bergerak bebas tanpa dipengaruhi dan dimiliki mana-mana parti politik.

Tokoh wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin, berkata pada masa ini, tiada undang-undang yang mengekang parti politik daripada memiliki pegangan saham dalam sesebuah kumpulan media.

"Terpulanglah kepada anda. Anda ada hak untuk kemuka petisyen kepada Ahli Parlimen bagi meluluskan undang-undang supaya akhbar tidak dimiliki oleh parti politik.

"Sekiranya Parlimen meluluskannya, undang-undang itu akan diwartakan dan parti politik tidak boleh memiliki akhbar, namun kedudukannya sekarang adalah sesiapapun boleh memiliki akhbar," katanya kepada pemberita di Menara Ilham di sini, hari ini.

A Kadir adalah Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan.

Mengenai tuntutan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) cawangan Utusan Melayu (M) Berhad yang memohon UMNO merombak jabatan pengarang akhbar Utusan Malaysia, A Kadir berkata, sebagai kesatuan yang mewakili wartawan akhbar itu, NUJ berhak menyuarakan pendapat.

Bagaimanapun, perkara itu hanya boleh diputuskan oleh UMNO, selaku pemegang saham majoriti syarikat berkenaan.

"Kerajaan tak boleh campur tangan, itu hak milik UMNO. Tetapi kalau ada orang nak beli, itu lain cerita sebab dalam Utusan Melayu, bukan hanya UMNO yang memiliki saham, ada juga pelabur institusi memiliki saham dan sudah tentu mereka tidak mahu memegang saham syarikat yang tidak membuat keuntungan," katanya.

Kelmarin, sebuah portal berita melaporkan NUJ cawangan Utusan Melayu (M) Berhad mengemukakan memorandum kepada Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 26 Mei lalu.

Menurut laporan itu, kesatuan itu memohon supaya UMNO merombak jabatan pengarang Utusan Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X