Khamis, 31 Mei 2018 | 2:23pm

Tawaran masuk IPT meningkat 22 peratus

PUTRAJAYA: Seramai 182,409 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditawarkan program prauniversiti, sijil dan diploma di universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) seluruh negara bagi sesi akademik 2018/2019 ambilan Jun.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan 22 peratus berbanding 149,000 tempat yang ditawarkan pada tahun lalu.

Beliau berkata, daripada 182,409 calon, seramai 17,338 calon adalah daripada golongan B40; 299 orang kurang upaya (OKU); 348 (Orang Asli) dan 1,225 (atlet sukan).

"Walaupun kita cuba memastikan semua pelajar yang layak mendapat tempat melanjutkan pelajaran, saya mengambil maklum wujudnya rintihan mengenai bagaimana anak-anak yang mendapat keputusan cemerlang tetapi tidak mendapat tempat melanjutkan pelajaran.

"Kerajaan akan cuba membantu semua pelajar yang layak akademik dan mempunyai keperluan untuk dibantu dari segi tahap sosioekonomi mereka, jika ada pihak masih tidak berpuas hati, saya sarankan mereka membuat rayuan kepada Jabatan Pendidikan Tinggi.

"Saya memberi jaminan rayuan akan diberi perhatian adil dan saksama," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rasmi Kemasukan ke UA dan Pusat Matrikulasi Sesi Akademik 2018/2019 kepada pelajar cemerlang SPM di sini.

Sementara itu, Maszlee berkata, satu Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Manifesto Pakatan Harapan (PH) dibentuk di peringkat Kementerian Pendidikan bagi menyelaras semua urusan berkaitan pendidikan yang terkandung dalam Buku Harapan supaya ia dapat dilaksanakan secara tersusun.

Beliau berkata, jawatankuasa akan dipengerusikan beliau itu, akan turut dianggotai Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan semua ahli pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan.

"Jawatankuasa itu juga akan diurussetiakan Bahagian Dasar Sektor Pengajian Asas dan Pengajian Tinggi," katanya.

98 dibaca
DR Maszlee Malik bergambar bersama penerima-penerima sijil dan keluarga masing-masing ketika majlis penyerahan surat tawaran rasmi kemasukan ke Universiti Awam dan Pusat Matrikulasi Sesi Akademik 2018/2019 kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajara Malaysia (SPM) di Putrajaya, turut kelihatan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Kamel Mohamed (kiri) dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir (kanan). - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X