Isnin, 28 Mei 2018 | 11:45pm

PAUiTM tentang permintaan HINDRAF 2.0

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (PAUiTM) membantah tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF 2.0) yang mahu kemasukan UiTM dibuka kepada semua kaum.

Presiden PAUiTM, Datuk Mohd Zaini Hassan, berkata kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu adalah sebahagian daripada komponen hak serta keistimewaan Bumiputera yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

"PAUiTM yang mewakili 700,000 alumni UiTM memandang serius tuntutan berkenaan kerana sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Kita sedar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perlu mengambil kira tuntutan pelbagai masyarakat di negara ini namun isu terbabit perlu ditangani dengan tegas bagi memelihara hak dan keistimewaan ini.

"Kita harap Kementerian Pendidikan mencari inisiatif dan meletakkan UiTM di bawah perlindungan Majlis Raja-Raja bagi mengelakkan institusi pengajian ini diganggu gugat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Zaini berharap semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan bagi mengelak berlakunya konflik.

Katanya, kenyataan HINDRAF itu umpama mencurah minyak ke dalam api dan dikhuatiri mencetuskan kemarahan orang Melayu.

Terdahulu, HINDRAF menuntut UiTM dibuka untuk semua kaum terutama untuk kaum India dari golongan berpendapatan bawah 75 peratus (B75).

Ia termasuk peluang 15 peratus untuk golongan B75 bagi tawaran kemasukan ke universiti awam, politeknik, UiTM dan Tadika Permata setiap tahun.

Berita Harian X