Ahad, 27 Mei 2018 | 5:03pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pindah aset 1MDB kepada MoF bukan 'jual-beli' - Guan Eng

PUTRAJAYA: Lim Guan Eng berkata, pembayaran RM6.98 bilion yang dibuat Kementerian Kewangan (MoF) bagi pihak 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah satu 'bail out' terbesar yang pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Justeru, Menteri Kewangan berkata, dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pembayaran itu bukan 'bail out' dan ia pampasan kepada 1MDB selepas syarikat itu memindahkan semua aset hartanah termasuk Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia kepada MoF adalah salah.

Beliau berkata, pemindahan aset 1MDB kepada MoF bukanlah satu transaksi 'jual-beli' dan pegawai kementerian turut mengesahkan tiada perjanjian jual beli dilangsungkan atau dijalankan.

"Perkara ini adalah konsisten dengan saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). PAC mendapati 1MDB tidak mempunyai keupayaan kewangan, kemampuan untuk membangun atau menjual aset hartanah berkenaan.

"Justeru, PAC mengesyorkan MoF mengambil alih aset berkenaan bagi menjamin dan meningkatkan kemampanan projek berkaitan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

'

Guan Eng berkata, Najib yang juga Menteri Kewangan sebelum ini juga tidak patut lupa bahawa tanah berkenaan dijual Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB pada harga sangat rendah antara tahun 2010 hingga 2012.

Katanya, 28 hektar tanah TRX dijual kepada 1MDB pada harga RM230 juta (sekitar RM74 kaki persegi), manakala 194.4 hektar tanah Bandar Malaysia dijual pada harga RM1.6 bilion (sekitar RM72 kaki persegi).

"Mengapa MoF perlu memberikan pampasan sebanyak berpuluh-puluh bilion kepada 1MDB, walaupun 1MDB sudah membeli tanah itu dengan harga begitu murah dan gagal menjalankan sebarang pembangunan ke atas projek ini," katanya.

Guan Eng turut mengingatkan Najib bahawa MoF tidak mengambil alih aset berkenaan secara percuma kerana apabila kementerian mengambil alih TRX City Sdn Bhd, ia terpaksa juga mengambil alih pinjaman syarikat bernilai RM800 juta yang diambil daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan hutang itu akan matang pada 2020.

Selain itu, katanya, apabila MoF mengambil alih Bandar Malaysia Sdn Bhd, kementerian terpaksa bertanggungjawab ke atas pinjaman sukuk bernilai RM2.4 bilion.

"Laporan Ketua Audit Negara juga mengesahkan bahawa pinjaman dan sukuk itu tidak digunakan untuk tujuan yang ditetapkan iaitu untuk membangunkan TRX dan Bandar Malaysia.

"Justeru, 1MDB tidak layak meminta apa-apa pampasan daripada MoF, sebaliknya kementerian yang sepatutnya membuat tuntutan pampasan daripada 1MDB untuk menanggung bayaran hutang terbabit," katanya.

Selain itu, Guan Eng berkata, kementerian itu juga sudah membuat beberapa bayaran kepada 1MDB atau bagi pihak 1MDB yang berkaitan dengan projek TRX dan Bandar Malaysia.

"MoF melalui anak syarikat milik penuhnya, Aroma Teraju Sdn Bhd, membeli sebidang tanah seluas 0.92 hektar daripada TRX City Sdn Bhd pada September 2015 pada harga RM250 juta.

"Kementerian turut mengembalikan wang deposit RM741 juta untuk pihak 1MDB kepada satu konsortium diketuai Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) selepas perjanjian jual beli Bandar Malaysia dibatalkan pada Mei 2017.

"Ini kerana 1MDB sudah habis menggunakan deposit dibayar oleh IWH dan tidak mampu memulangkan deposit itu," katanya.

Beliau berkata, selain bayaran terbabit, 1MDB juga menjual dua bidang tanah TRX kepada dua badan berkaitan kerajaan bagi mendapat keuntungan melampau iaitu 0.63 hektar kepada Lembaga Tabung Haji dengan harga RM188.5 juta (sekitar RM2,750 kaki persegi) pada April 2015 dan 0.5 hektar kepada Affin Bank, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada harga RM255 juta (sekitar RM4,680 kaki persegi) pada Ogos 2015.

Berita Harian X