Rabu, 23 Mei 2018 | 1:38pm
KETUA Pegawai Operasi BIMB Holdings Berhad, Mohd Azlan Mohd Alam (kanan) mengagihkan juadah berbuka puasa kepada kakitangan NSTP di Balai Berita Jalan Riong. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KETUA Pegawai Operasi BIMB Holdings Berhad, Mohd Azlan Mohd Alam (kanan) mengagihkan juadah berbuka puasa kepada kakitangan NSTP di Balai Berita Jalan Riong. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KETUA Pegawai Operasi BIMB Holdings Berhad, Mohd Azlan Mohd Alam (tengah) bersama Ketua Pegawai Syariah Kumpulan BIMB Holdings, Mohd Nazri Chik (tiga kiri) menyampaikan replika plug kepada Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman (tiga kanan) sebagai tanda tajaan sempena Program Semarak Ramadan BH di Balai Berita Jalan Riong. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

BHB terus taja Semarak Ramadan

KUALA LUMPUR: BIMB Holdings Berhad (BHB) meneruskan tajaan untuk program Semarak Ramadan BHB bersama Berita Harian (BH) buat kali kelapan.

Penganjuran program itu adalah untuk mengukuhkan sinergi antara semua ahli Kumpulan BHB dalam menjalankan aktiviti kebajikan dan tanggungjawab korporat.

Program Semarak Ramadan 2018 akan diadakan di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Perak pada 26 Mei ini. Dianggarkan seramai 500 penduduk setempat akan hadir pada majlis itu.

Program ini diadakan untuk memupuk semangat ukhwah serta mengeratkan silaturahim antara masyarakat setempat, warga BH dan Kumpulan BHB.

Pelbagai aktiviti gotong-royong akan diadakan bersama penduduk setempat serta jemaah masjid di kawasan berkenaan.

Semarak Ramadan kali ini dimulakan dengan program qiamullail di masjid berkenaan bersama jemaah masjid serta diteruskan dengan jamuan sahur dan kuliah subuh.

Aktiviti gotong-royong untuk menyediakan juadah berbuka puasa turut dijalankan. BHB menyumbang seekor lembu untuk dilapah dan dimasak bersama-sama dengan penduduk setempat di samping memasak bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai di Bazar Ramadan di Arena Square di Kuala Kangsar.

Semua warga kerja BHB dan BH juga akan menyerahkan apron kepada penjaja di bazar Ramadan.

Agih sumbangan zakat

Ketua Pegawai Eksekutif BHB, Khairul Kamarudin, berkata BHB akan mengagihkan sumbangan zakat kepada asnaf di sekitar Kampung Sayong Lembah dan turut menyumbang kepada Masjid Sultan Idris Shah II dan Masjid Kampung Sayong Lembah sebagai bantuan dalam menganjurkan program pembangunan.

"BHB meneruskan kesinambungan beramal di bulan Ramadan dengan mempertingkatkan usaha murni tanggungjawab korporat dan berkongsi rezeki dengan membantu golongan yang memerlukan agar mereka dapat merasa nikmat Ramadan.

"Ini adalah usaha strategik industri perbankan Islam di mana kami memperjuangkan agenda Value-based Intermerdiary, iaitu tidak hanya melihatkan kepada keuntungan operasi kami di dalam perbankan Islam, Takaful, pembrokeran dan pengurusan dana patuh syariah," katanya pada majlis sumbangan yang berlangsung di Balai Berita, semalam.

Pada majlis itu, BHB turut mengagihkan sumbangan juadah berbuka puasa kepada media di Kumpulan New Straits Times Press (NSTP).

Penyerahan 550 juadah pek berbuka puasa itu bertujuan mengerat ukhuwah antara Bank Islam dan rakan media NSTP serta memberi penghargaan kepada mereka yang memberi sumbangan dalam menyalurkan maklumat.

Berita Harian X