Selasa, 22 Mei 2018 | 1:51pm
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto BERNAMA

Perjuang bajet lebih tinggi untuk Kementerian Kesihatan

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementerian itu memerlukan peruntukan bajet lebih tinggi bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terus diperkasakan.

Beliau berkata, perkara itu antara yang akan diperjuangkannya berikutan perbelanjaan diperuntukkan oleh kerajaan terdahulu dilihat sebagai amat mengecewakan.

"Adalah perlu untuk sesebuah kerajaan meletakkan keutamaan dalam setiap belanjawannya, dan ini (bajet rendah) ialah antara halangan penyampaian perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

"Ini yang akan saya perjuangkan. Keperluannya jelas kerana ia akan memberi kesan terhadap perkhidmatan dibekalkan kepada rakyat. Kesihatan merangkumi semua tetapi perbelanjaan diperuntukkan sebelum ini amat mengecewakan.

"Sebagai seorang daripada Menteri Kabinet, saya akan memastikan keutamaan betul diberikan pada peruntukan dana. Selain pendidikan dan perkara berkaitan pembangunan rakyat, kesihatan ialah satu daripadanya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, dengan peruntukan lebih tinggi, sektor kesihatan dijangka dapat menyumbang sekurang-kurang enam peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding kira-kira empat peratus ketika ini.

Selain pemerkasaan perkhidmatan dan keselamatan kesihatan, beliau berkata, fokus utama akan turut diberi untuk menangani isu kebajikan serta beban kerja kakitangan profesional perubatan, bagi melonjakkan sektor kesihatan negara.

"Semua ini amat berkait rapat dengan pemberian peruntukan lebih tinggi. Sebagai contoh perkara berkaitan beban tugas doktor, dengan peruntukan lebih tinggi, kita akan dapat mengurangkan nisbah doktor kepada pesakit.

"Ketika ini, nisbahnya ialah seorang doktor kepada 600 pesakit. Kita berharap nisbah itu dapat dikurangkan menjadi seorang doktor kepada 400 pesakit supaya kualiti dan tumpuan kepada pesakit dapat diperbaiki," katanya.

Terdahulu, Dr Dzulkefly menghadiri taklimat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan.

101 dibaca
Berita Harian X