Selasa, 22 Mei 2018 | 12:31pm
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull. - Foto AFP

Najib dipanggil bagi lengkapkan siasatan, bukan untuk ditangkap

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya dipanggil hari ini untuk melengkapkan siasatan bukan untuk ditangkap.

Menurutnya, beliau hanya dipanggil untuk melengkapkan proses siasatan kes SRC International.

"Kami ada menerima bukti baru. Jadi beliau (Najib) dipanggil untuk direkodkan keterangan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ditanya sama ada ada individu lain dipanggil untuk memberi keterangan kes sama, Mohd Shukri berkata, untuk hari ini, hanya Najib dipanggil memberi keterangan.

"Kami kini sedang mengesan seorang atau dua lagi untuk memberi keterangan berhubung kes sama.

"Selepas keterangan mereka diambil baru kami putuskan tindakan selanjutnya," katanya.

Ditanya sama ada Najib turut dikaitkan dengan kes derma RM2.6 bilion, Mohd Shukri berkata, kes siasatan berkenaan dikendalikan oleh Pasukan Khas Siasatan 1MDB.

Menurutnya, buat masa ini, SPRM hanya menyiasat kes SRC International sahaja.

16 dibaca
Berita Harian X