Sabtu, 19 Mei 2018 | 7:14pm
DR Dzulkefly Ahmad. - Foto BERNAMA

Dr Dzulkefly komited perkasa bidang kesihatan

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan yang baharu, Dr Dzulkefly Ahmad, berazam memperkasa perkhidmatan dan keselamatan kesihatan, di samping menangani isu kebajikan dan bebanan kerja dihadapi kakitangan profesional perubatan.

Menurutnya, beberapa dasar tidak strategik diperkenalkan sebelum ini agak dihapuskan dalam usaha melonjak pencapaian sektor kesihatan di negara ini.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mempunyai perhitungan tersendiri apabila melantik menteri kalangan doktor bagi mengemudi Kementerian Kesihatan.

"Peranan saya mengemudi kementerian ini bertujuan memperkasa sektor kesihatan dari segi kualiti dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, membabitkan kombinasi awam dan swasta.

"Kita mempunyai ramai kakitangan profesional perubatan berbakat, namun kepemimpinan tidak tidak dapat menggariskan dasar betul hingga menimbulkan banyak masalah termasuk tekanan kerja.

"Masalah ini diketahui umum dan inilah yang akan saya tangani," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH), akan menemui kepemimpinan tertinggi kementerian dalam tempoh terdekat.

"Saya memerlukan masa untuk mendengar penjelasan Ketua Setiausaha dan pengurusan KKM bagi meneliti pandangan serta pembentangan berkaitan.

"Tumpuan akan diberi terhadap usaha melonjak pencapaian dan prestasi KKM di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya sambil berterima kasih kepada Dr Mahathir atas pelantikan yang hanya diketahui menerusi sidang media Perdana Menteri, semalam.

Mengakui tidak menjangka akan dilantik menteri penuh, Dr Dzulkefly menyifatkan pelantikannya adalah atas kelayakan memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Perubatan (Toksikologi).

Beliau berkata, pengalaman sebagai pensyarah di Fakulti Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan akan digunakan untuk memimpin kementerian.

"Bidang perubatan bukan asing kerana saya mengajar kurikulum bersepadu yang melihat keseluruhan bidang perubatan itu sendiri," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Dr Dzulkefly menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor dengan majoriti 8,498 undi.

710 dibaca
Berita Harian X