Selasa, 15 Mei 2018 | 10:21pm
ALLAHYARHAM, Kamaruzzaman Abdul Karim.

Bapa Pengarang Eksekutif BH meninggal dunia

IPOH: Bapa kepada Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, meninggal dunia akibat sakit tua petang tadi.

Allahyarham, Kamaruzzaman Abdul Karim, 93, menghembuskan nafas terakhir di sisi anak-anaknya ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar di sini pada jam 5.30 petang.

Ahmad Zaini ketika dihubungi berkata, arwah dimasukkan ke hospital selepas beberapa kali tidak sedarkan diri dan semakin lemah sejak semalam.

Katanya, sejak seminggu lalu arwah kelihatan tidak bermaya dan beliau berada di kampung kira-kira dua hari lalu kerana beberapa kali arwah tidak sedarkan diri.

"Tengah hari semalam saya balik semula ke Kuala Lumpur dan saya nampak dia nampak agar segar sedikit, namun pagi tadi kakak saya membawanya ke hospital kerana dia (arwah) semakin lemah.

"Doktor yang memeriksanya mendapati tekanan darah juga menurun dan terdapat sedikit jangkitan pada paru-paru.

"Allahyarham terus tidak sedarkan diri dan doktor mengesahkan meninggal dunia pada jam 5.30 petang," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Ahmad Zaini berkata, arwah bapanya meninggalkan sembilan anak, 48 cucu dan 27 cicit.

Katanya, jenazah akan dibawa ke rumahnya di Kampung Sayong Lembah di Kuala Kangsar di sini dan solat jenazah akan diadakan di rumah pagi esok serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sayong Tengah kira-kira jam 11.30 pagi.

28 dibaca
Berita Harian X