Ahad, 13 Mei 2018 | 7:09pm
SETIAUSAHA Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek. - Foto Asyraf Hamzah

Pengampunan Anwar kuasa Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi pengampunan dan menunda hukuman berhubung kesalahan yang dibicarakan mahkamah tentera serta kesalahan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Bagi kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibicarakan di Kuala Lumpur, Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dianggotai Peguam Negara, Menteri yang menjaga hal-ehwal Wilayah Persekutuan dan ahli dilantik Yang di-Pertuan Agong tidak melebihi tiga orang, perlu mengadakan mesyuarat selepas menerima rayuan atau petisyen pengampunan.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata mesyuarat berkenaan bertujuan mendengar pendapat ahli lembaga.

"Pesalah atau wakilnya boleh membuat petisyen atau rayuan kepada Lembaga Pengampunan menerusi Mahkamah Tinggi dan satu mesyuarat akan diadakan ahli lembaga berkenaan.

"Yang di-Pertuan Agong akan mendengar nasihat daripada anggota Lembaga Pengampunan yang lain, sama ada bersetuju memberi pengampunan atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sebaik diberi, Anwar mendapat pengampunan penuh dan akan dibebaskan segera.

Ditanya jika ada tempoh atau prosedur tertentu sebelum Anwar mendapat pengampunan, Abdul Halim berkata, keputusan Lembaga Pengampunan adalah kuasa tertinggi.

"Anwar boleh dibebaskan serta-merta. Hanya beberapa proses dari segi pentadbiran di pihak penjara perlu diselesaikan peguamnya.

"Pengampunan ini bermakna Anwar bersih daripada mana-mana jenayah, sekali gus membenarkannya bertanding dalam pilihan raya," katanya.

Jika Anwar dibebaskan selepas menjalani tempoh hukuman, Abdul Halim berkata, Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu tidak layak bertanding dan perlu menjalani proses tempoh bertenang seperti bekas banduan lain.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri itu terhadap sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, menyatakan kesediaan untuk memberi pengampunan segera kepada Anwar.

115 dibaca
Berita Harian X